Dua Rumah Terbakar Di Bongawan, Mangsa Berjaya Selamatkan Diri

Sebuah rumah terbakar dalam kejadian yang berlaku di Kampung Padang Kumalik, Bongawan, Kimanis malam tadi. Foto JBPM
KIMANIS, 24 Mei – Sekurang-kurangnya dua buah rumah terbakar di Kampung Padang Kumalik Bongawan, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.49 malam.
Katanya, seramai 19 anggota dan pegawai daripada BBP Kimanis dan Papar bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal musnah keseluruhannya, manakala sebuah lagi terbakar 30 peratus.
“Pasukan operasi segera bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga aliran dari sumber air terbuka dan jentera bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat ini kebakaran hanya melibatkan kemusnahan harta benda sahaja, tiada mangsa yang cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.47 malam.

“Siasatan akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.
Difahamkan mangsa sempat menyelamatkan diri namun beberapa dokumen penting serta harta benda tidak dapat diselamatkan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
