Dua Pekerja Kontrak Maut Terkena Renjatan Elektrik

Foto mangsa akibat terkena renjatan elektrik ketika menjalankan memasang kabel gentian optik talian sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Marak Parak, Kota Marudu. Foto tular

KOTA MARUDU, 8 FebDua pekerja buruh kontrak maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja memasang kabel gentian optik talian sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Marak Parak, di sini, kelmarin.

Kedua-dua mangsa warga tempatan iaitu Abi’rafhdi Affendy, 20, dan Khomeni Maulana, 32, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat renjatan elektrik yang tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, siasatan mendapati mangsa bersama lapan pekerja kontrak mengangkat tiang untuk ditanam bagi memasang kabel gentian optik talian sebuah syarikat telekomunikasi, jam 7.30 pagi.

“Ketika pekerja menaikkan tiang berkenaan, terdapat kabel elektrik yang terletak hampir dengan tiang yang dinaikkan di tempat kejadian.

“Tiang yang dinaikkan itu terkena dengan kabel elektrik yang mempunyai arus elektrik mengalir menyebabkan beberapa pekerja melepaskan tiang dan mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Foto mangsa akibat terkena renjatan elektrik ketika menjalankan memasang kabel gentian optik talian sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Marak Parak, Kota Marudu. Foto tular

Beliau berkata, dua lagi pekerja bagaimanapun tidak sempat melepaskan tiang terbabit sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat renjatan elektrik yang tinggi.

“Orang awam yang melihat kejadian ini menggunakan kenderaannya untuk menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Kota Marudu.

“Doktor bagaimanapun mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia sebelum sampai di hospital,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bekerja di sebuah syarikat di Penampang Kota Kinabalu dan berperanan dalam menjalankan kerja-kerja memasang infrastruktur kabel gentian optik.

“Pemeriksaan fizikal oleh pegawai perubatan bertugas mendapati terdapat kesan renjatan elektrik pada tubuh mangsa.

“Tiada kecederaan lain yang mengaitkan dengan sebarang unsur jenayah manakala hasil bedah siasat mengesahkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan akibat terkena renjatan elektrik.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *