Dua Kod Di Bawah ONSA Diterbitkan Perkukuh Keselamatan Kanak-Kanak – MCMC

MCMC berkata, dua kod berkenaan merangkumi perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun yang akan berkuat kuasa 1 Jun 2026. Foto MCMC
CYBERJAYA, 22 Mei – Dua kod di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act – ONSA) diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hari ini, bagi memperkukuh keselamatan dalam talian dan melindungi kanak-kanak serta pengguna rentan.
Dua kod berkenaan merangkumi perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun yang akan berkuat kuasa 1 Jun ini.
Menerusi satu kenyataan disiarkan hari ini, MCMC berkata, Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code – CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) di bawah ONSA akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.

Katanya, ia hasil daripada sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan berkaitan dijalankan dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
“Kod ini menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan masing-masing, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.
“Pendekatan pelaksanaan di bawah kod ini adalah berasaskan hasil, yang memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Tambahnya, CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak.
Katanya, CPC akan memastikan pemberi perkhidmatan menerapkan prinsip keselamatan melalui binaan bagi kanak-kanak dalam perkhidmatan mereka.
MCMC berkata langkah di bawah CPC turut menyediakan perlindungan mengikut umur dan mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan.
Layari laman sesawang DI SINI bagi mendapatkan soalan lazim berhubung penerbitan kod berkenaan.
“RMC pula menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.
“Ia termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respon yang berkesan, langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi,” katanya.
Tambahnya, tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



