PM Anwar Jamin Bekalan Tenaga Cukup Sehingga Julai

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan Solat Jumaat di Masjid al-Muttaqin, Wangsa Maju pada 22 Mei 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan tenaga negara mencukupi bagi menampung permintaan domestik sehingga bulan Julai depan.
“Insya-Allah, cukup,” jelas Perdana Menteri ringkas selepas selesai menunaikan Solat Jumaat di Masjid al-Muttaqin, Wangsa Maju di sini, hari ini.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwat memberitahu, khutbah hari ini bertajuk “Arafah Hari Kebangkitan” menyentuh keistimewaan Hari Arafah pada 9 Zulhijah yang akan tiba kelak.
”Perhimpunan besar yang akan berlangsung ini bukan sekadar gambaran kesatuan umat Islam, namun lebih dari itu, kita juga perlu mengangkat nilai dan kualiti umat untuk berhadapan dengan tantangan zaman,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar melakukan lawatan mengejut ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi meninjau keadaan kemudahan serta operasi harian termasuk menyantuni para pelawat serta petugas hospital berkenaan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan status keterjaminan bekalan tenaga Malaysia stabil serta mencukupi untuk menampung permintaan sehingga Julai ini.

Menurutnya, kerajaan konsisten mempergiat usaha dalam memastikan keterjaminan bekalan tenaga domestik dapat dijamin sekurang-kurangnya sehingga Disember, susulan daripada krisis bekalan global yang sedang berlaku ketika ini.
“Jadi kita hendak mengurangkan penggunaan dan menjimatkan sebenarnya penggunaan tenaga. Tujuannya supaya kita dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak kita, bekalan gas kita. Kalau setakat ini, Insya-Allah keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga bulan Julai.

“PETRONAS sedang bertungkus lumus mendapatkan sumber bekalan, malah terpaksa pergi ke Afrika sekalipun. Insya-Allah kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember depan,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, krisis tenaga global yang dihadapi ketika ini memberi kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
