Dua Kanak-Kanak Antara 10 Mangsa Terselamat Kebakaran Rumah Pekerja Kilang

Keadaan rumah pekerja kilang dalam kejadian yang berlaku di Jalan Semangat, Estet Perindustrian Pending, di Kuching pada Sabtu. Foto JBPM
KUCHING, 4 Feb – Dua kanak-kanak antara 10 mangsa yang tinggal di rumah pekerja di sebuah kilang berjaya menyelamatkan diri apabila kediaman mereka musnah dijilat api dalam kejadian yang berlaku di Jalan Semangat, Estet Perindustrian Pending, di sini pada Sabtu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 9:56 malam.
Menurutnya, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan dan dibantu BBP Padungan dan BBP Petra Jaya bergegas ke lokasi.

“Setiba di lokasi mendapati kebakaran berlaku melibatkan satu blok rumah pekerja iaitu blok A telah musnah 100 peratus.
“Kebakaran itu berlaku bermula dari blok A manakala blok B dan C selamat.
“Semasa kejadian, semua penghuni (blok A) berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi operasi pemadaman, jelasnya anggota dari BBP Tabuan Jaya dan Padungan bertindak memadam kebakaran secara ‘offensive‘ dan ‘defensive‘.
“Pada jam 10:51 malam, kebakaran berjaya dikawal dan kerja-kerja ‘overhaul’ giat dilaksanakan sehingga tiada lagi punca api,” jelasnya.
Operasi itu, katanya ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 12:32 tengah malam.
Turut hadir membantu di lokasi ialah pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sarawak Energy Berhad.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
