Dr Wan Azizah Ziarah Mahasiswa UPSI Di Hospital Taiping

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi mahasiswa UPSI yang dirawat di Hospital Taiping pada 13 Jun 2025. Foto UPSI
TAIPING, 13 Jun – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meluangkan masa menziarahi mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Isnin lepas.
Beliau yang juga isteri Perdana Menteri tiba kira-kira 10.25 pagi disambut isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubin serta Pengarah Hospital Taiping Dr Khuzaini Abd Karim.
Dr Wan Azizah dibawa ke wad untuk melawat empat mangsa terdiri daripada tiga mahasiswa wanita dan seorang mahasiswa lelaki yang masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

Beliau meluangkan masa kira-kira sejam bertanyakan keadaan mangsa selain turut memberi sokongan moral dan kata-kata semangat kepada ahli keluarga yang berada di wad tersebut.
Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada keempat-empat mangsa.
Sumbangan disampaikan Dr Wan Azizah ini juga atas rasa dukacita dan sedih melihat impak yang menimpa mereka, termasuk rakan-rakan seuniversiti yang meninggal dunia.
Dalam kejadian Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang mereka naiki dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam pelanggaran dengan kereta Perodua Alza di laluan JRTB.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
