1MDB: SPRM Berjaya Lucuthak RM4 Juta Dalam Akaun Bank BSI Switzerland

Lucuthak RM4 juta dari akaun Bank BSI di Switzerland terkait skandal 1MDB diserahkan kepada SPRM mewakili kerajaan Malaysia.
PUTRAJAYA, 13 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melucuthak wang berjumlah lebih RM4 juta (USD954,299.58) dalam akaun Bank BSI, Switzerland yang berkait dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Muniandy Kannyappan selepas dimaklumkan tiada bantahan atau tuntutan daripada mana-mana pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kuala Lumpur, hari ini.
“Menerusi penghakimannya, Hakim Muniandy membenarkan wang dalam akaun perbankan atas nama Derivale Limited, milik Azlin bin Alias selaku pemegang benifisiari dilucutkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi SPRM.
“Lucuthak bagi wang berkenaan dibuat di Bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” menurut SPRM dalam kenyataan hari ini.
Ia merupakan kejayaan pertama SPRM melucuthak aset luar negara tanpa perlu melalui proses pendakwaan.
Untuk rekod, Azlin meninggal dunia pada 2015 selepas terbabit dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
