Dividen KWSP: ‘Alhamdulillah Pulangan Berbaloi’

Jelson Guntalib, 32, berkata kadar dividen berkenaan merupakan satu angka yang kompetitif dan memberikan kelegaan kepada pencarum muda sepertinya yang menitikberatkan simpanan jangka panjang. Foto hiasan

KUCHING, 1 Mac – Para pencarum di Sarawak rata-ratanya berpuas hati dengan pengagihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus bagi tahun 2025.

Mereka menyifatkan pulangan tersebut stabil dan masih dianggap berbaloi biarpun sedikit menurun berbanding 6.30 peratus tahun lalu dengan prospek ekonomi global lebih mencabar susulan perang antara Iran dan Israel kini.

Menurut seorang pencarum, Maslina Abdullah, 44, dari Bintulu, beliau bersyukur dengan pengumuman dibuat KWSP dan yakin akan meningkatkan lagi semangatnya untuk menyimpan bagi simpanan persaraan.

“Saya memilih untuk terus mencarum bagi menjamin simpanan saya sekiranya saya ditimpa masalah kesihatan kerana belum tentu insurans kesihatan mampu menanggung semua perbelanjaan apabila saya bersara nanti,” katanya.

Bagi penyelia keselamatan kilang Brauselt, Elden Usah, 35, berkata beliau berpuas hati dengan kadar yang diberikan dan menganggap KWSP sebagai instrumen simpanan selamat dan terjamin untuk jangka masa panjang berbanding pilihan pelaburan lain yang lebih berisiko.

“Kestabilan pulangan lebih penting berbanding keuntungan besar dalam tempoh singkat. Dividen yang konsisten setiap tahun membantu memastikan simpanan persaraan terus berkembang secara berterusan,” katanya.

Elden berpuas hati dengan kadar yang diberikan dan menganggap KWSP sebagai instrumen simpanan selamat dan terjamin untuk jangka masa panjang.

Di Tamparuli, seorang juruteknik elektrik, Jelson Guntalib, 32, berkata kadar dividen berkenaan merupakan satu angka yang kompetitif dan memberikan kelegaan kepada pencarum muda sepertinya yang menitikberatkan simpanan jangka panjang.

Beliau berkata jumlah itu dilihat jauh lebih tinggi daripada kadar faedah simpanan tetap di bank komersial.

“Saya tidak bercadang untuk melakukan sebarang pengeluaran, sebaliknya mahu membiarkan dividen ini terus berkembang dalam akaun untuk memastikan kelangsungan hidup selepas bersara nanti,” katanya.

Rata-rata pencarum berpuas hati dengan pulangan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan pada 28 Februari 2026. Foto hiasan

Menurut laporan, jumlah caruman ahli KWSP kini meningkat kukuh kepada RM121.5 bilion pada 2025, menokok 12.3 peratus berbanding 2024, didorong pertambahan keahlian, pertumbuhan gaji serta keyakinan berterusan terhadap dana persaraan itu.

KWSP memaklumkan jumlah keseluruhan ahlinya meningkat kepada 18.1 juta orang, disokong penyertaan tenaga kerja yang lebih meluas termasuk pekerja bukan warganegara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *