Diaspora Malaysia Di Timor-Leste Teruja Dengan Kehadiran PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni diaspora Malaysia di Timor-Leste sempena lawatan rasmi dua hari ke negara itu pada 23 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
DILI, 23 Sep – Setiap kali Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi atau lawatan kerja ke luar negara, antara komponen penting yang perlu diadakan ialah sesi bersama diaspora Malaysia dan di Timor-Leste juga tidak terkecuali.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, sesi pertemuan itu menjadi jambatan untuk mengeratkan hubungan antara Kerajaan dengan rakyat Malaysia di perantauan selain bertukar-tukar pandangan dan perkongsian bermanfaat.

Ini dibuktikan lagi apabila kira-kira 170 diaspora Malaysia di perantauan turut teruja dengan kehadiran Perdana Menteri serta beberapa menteri kabinet menyantuni mereka sama ada yang bekerja atau melanjutkan pengajian di sini.
Tambahan pula, pertemuan itu juga turut meraikan pegawai-pegawai syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi dan menjalankan perniagaan di sini seiring dengan pertumbuhan potensi negara berkenaan.

“Lawatan penuh makna ini merupakan satu mercu tanda penting untuk Malaysia dan Timor-Leste memperkukuh kerjasama sedia ada, di samping membuka lembaran baharu peluang sinergi bersama,” katanya.
Ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri Malaysia ke negara berkenaan setelah kali terakhir dilakukan 22 tahun lalu apabila Timor-Leste mencapai kemerdekaan.

Terdahulu, Anwar disambut oleh Presiden, Dr José Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmao dalam istiadat di Istana Presiden sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Ramos-Horta.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan bersejarah itu adalah kunjungan pertama Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong kesediaan negara itu menjadi anggota ke-11 ASEAN.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
