Presiden Dr. Ramos-Horta, PM Gusmão Hoskan Majlis Makan Malam Khas Buat PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri resepsi makan malam yang dihoskan oleh Presiden Timor-Leste, Dr. José Ramos-Horta serta Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão di Dili pada 23 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
DILI, 23 Sep – Sempena lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste, Presiden, Dr. José Ramos-Horta serta Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão meraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia dengan menghoskan majlis resepsi makan malam khas di sini, malam tadi.
Majlis berkenaan yang dihadiri para menteri kabinet negara itu turut diserikan dengan persembahan kesenian, nyanyian dan pertunjukan kebudayaan tempatan yang mencerminkan keunikan dan citra warisan rakyat Timor-Leste.

“Selain menjadi ruang untuk kami menikmati persembahan budaya, majlis ini juga membuka peluang berharga untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa, serantau dan global,” ujar Anwar menerusi hantaran di laman sosial Facebook.
Dalam ucapannya sempena meraikan lawatan rasmi pada majlis berkenaan, Perdana Menteri menegaskan, kerjasama erat antara Malaysia dan Timor-Leste perlu terus diperkukuh demi memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat kedua-dua negara.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Sarjit Singh serta para pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara.
Terdahulu pada pertemuan rasmi di Istana Presiden di sini, petang tadi, Anwar yang menyatakan sudah lama bersahabat dengan Dr. Ramos-Horta, menyifatkan kunjungan itu bukan sahaja bersifat rasmi malah juga peribadi.

Beliau berkata lawatan berkenaan penting di samping mengetengahkan sejarah bersama kedua-dua negara dan sokongan konsisten Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan Timor-Leste.
Perdana Menteri menekankan keutamaan dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertahanan, sambil mengalu-alukan penglibatan PETRONAS dan syarikat swasta Malaysia di negara berkenaan sejak 2005 lagi.

“Kemasukan anda (Timor-Leste) ke ASEAN hanya menunggu masa. Malaysia menantikan untuk meraikan keanggotaan Timor-Leste pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia akan menjadi hos kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadualkan pada 26 hingga 28 Oktober dan Timor-Leste bakal mencatat sejarah sebagai negara anggota terbaharu di bawah Kepengerusian Malaysia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
