Persahabatan Utuh Malaysia-Timor-Leste Dizahirkan Dengan Lawatan PM Anwar – Dr. Ramos Horta

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta Istana Presiden Timor-Leste di Dili pada 23 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
DILI, 23 Sep – Presiden Timor-Leste, Dr José Ramos-Horta menyifatkan lawatan sulung dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula hari ini sebagai bukti persahabatan utuh antara kedua-dua negara.
Presiden berusia 75 tahun yang juga anak jati Dili itu mengimbau sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia semasa perjuangan Timor-Leste untuk mencapai kemerdekaan pada 2002.

Dr. Ramos-Horta berkata, perbincangan bersama Anwar adalah membina dan tertumpu pada masa depan termasuk pelaburan Malaysia yang lebih besar dalam perniagaan tani, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui, serta pendidikan dan latihan vokasional untuk belia Timor-Leste.
Ramos-Horta turut mengumumkan bahawa Anwar akan dikurniakan anugerah tertinggi negara itu ‘Grand Collar of the Order of Timor-Leste’ sebagai pengiktirafan terhadap bantuannya dan peranan Malaysia selama ini dalam menyokong aspirasi negara itu untuk menyertai ASEAN, khususnya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Anugerah ini adalah penghormatan terhadap komitmen peribadinya dan sokongan penting Malaysia.
“Timor-Leste dan Malaysia bukan sahaja berjiran tetapi rakan kongsi dalam membina Asia Tenggara yang bersatu dan makmur,” katanya pada sidang media bersama di Istana Presiden di sini.

Sementara itu, Anwar yang menyatakan sudah lama bersahabat dengan Ramos-Horta, menyifatkan kunjungan itu bukan sahaja bersifat rasmi malah peribadi.
Beliau berkata lawatan berkenaan penting di samping mengetengahkan sejarah bersama kedua-dua negara dan sokongan konsisten Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan Timor-Leste.

Perdana Menteri menekankan keutamaan dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertahanan, sambil mengalu-alukan penglibatan Petronas dan syarikat swasta Malaysia.
“Kemasukan anda (Timor-Leste) ke ASEAN hanya menunggu masa. Malaysia menantikan untuk meraikan keanggotaan Timor-Leste pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober,” katanya.

Timor-Leste akan diterima secara rasmi sebagai anggota ASEAN ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
