Delegasi Saudi Aramco Akan Kunjungi Malaysia Tahun Hadapan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berswafoto bersama warga PETRONAS Wilayah Pantai Timur di Kompleks Petronas Pantai Timur, Kemaman hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KEMAMAN, 29 Nov – Delegasi firma minyak dan gas terbesar dunia, Saudi Aramco akan mengunjungi negara ini bagi mengadakan mesyuarat membincangkan perluasan fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor pada tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat dengan Lembaga Saudi Aramco itu bakal turut melibatkan Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS).

“Ini penghargaan bukan bukan sahaja kepada negara ini malah PETRONAS.

“Ini maksudnya apa? Ia cabaran kepada Petronas untuk mempertahankan integriti dan mencari hala tuju baru dalam perniagaan dijalankan,” katanya semasa melakukan lawatan kerja di Kompleks PETRONAS Pantai Timur, Kerteh di sini hari ini.

Sebelum ini, Saudi Aramco telah menyuarakan hasrat menjadikan negara ini sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi bagi rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berswafoto bersama warga PETRONAS Wilayah Pantai Timur di Kompleks Petronas Pantai Timur, Kemaman hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perluasan fasiliti syarikat tersebut berkaitan aktiviti hiliran petrokimia dan gas bakal menjadikan Kompleks Bersepadu Pengerang sebagai antara hab minyak dan gas terbesar di Asia Tenggara.

Saudi Aramco pernah disenaraikan sebagai syarikat keenam paling untung di dunia dengan perolehan RM488.48 bilion oleh Fortune Global 500 pada tahun 2021.

Sementara itu Anwar menggesa warga PETRONAS di semua peringkat diminta mengekalkan prestasi cemerlang dan integriti dalam usaha menarik lebih ramai pelabur pada masa akan datang.

Anwar berkata, kecemerlangan syarikat itu terbukti apabila sering menjadi perhatian di peringkat antarabangsa termasuk keyakinan Arab Saudi melabur di negara ini.

“Saya berbangga kerana PERONAS dapat pertahankan intergriti yang sangat tinggi dan saya mengesahkan apa yang diketahui selama ini tentang kesungguhan tenaga profesional dan juga staf di semua peringkat.

“Tak mungkin kita capai prestasi sebaik ini kalau pengurusan dan tatakelolanya tidak baik dan cemerlang, ” katanya.

Anwar menambah, bukan semua syarikat di dunia mampu mencapai kemajuan sekiranya pengurusannya lemah, wujud gejala rasuah dan penyelewengan.

“Tetapi sejarah kita dari awal PETRONAS telah mencatat bukan sahaja kemajuan dan pulangan kepada syarikat dan negara kerana pulangan dana daripada PETRONAS kepada negara ini, itu sudah mencecah sampai ratusan bilion ringgit.

“Jadi apa pengajaran daripada PETRONAS iaitu negara kita mampu diangkat sebagai negara hebat di rantau dengan syarat ada pimpinan politik, pengurusan seperti di PETRONAS, penjawat awam dan dasar serta pengurusan yang jelas.

“(Sebab itu, saya pesan kepada Taufik (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz) dalam semua latihan PETRONAS mesti disemai nilai, akhlak dan integriti (untuk kekalkan imej Petronas),” katanya

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *