DBKL Rampas Skuter Elektrik Di Tasik Titiwangsa

Operasi DBKL merampas skuter elektrik di Taman Tasik Titiwangsa hari ini. Foto Harian Metro

KUALA LUMPUR, 17 FebPeniaga sewa basikal di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, mendakwa pihaknya terpaksa menawarkan khidmat sewa skuter elektrik bagi menampung kos operasi perniagaan itu.

Peniaga yang enggan dikenali berusia 40-an berkata, kenderaan itu mendapat banyak permintaan daripada pelanggan yang berkunjung di taman berkenaan.

“Kita (peniaga) tahu skuter elektrik tidak boleh disewa di kawasan ini, namun kita dapat banyak permintaan daripada pelanggan yang mahu menaiki kenderaan itu berbanding basikal.

“Jika harap pada sewa basikal iaitu RM10 sejam, ia tidak mampu menampung kos operasi kami berbanding sewa skuter elektrik pada kadar RM24 bagi tempoh 40 minit,” katanya.

Peniaga itu ditemui ketika operasi tindakan khas Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.

Operasi DBKL merampas skuter elektrik di Taman Tasik Titiwangsa hari ini. Foto Harian Metro

Menurutnya, sukar untuk peniaga sewa basikal di taman berkenaan mahu mendapatkan ramai pelanggan memandangkan jumlah peniaga yang ramai di sekitar tempat rekreasi itu.

“Terdapat 45 peniaga yang sewa basikal di sini, jadi susah untuk kami dapatkan pelanggan kerana persaingan kuat. Apabila ada kelainan seperti skuter elektrik, ia beri kami lebih pendapatan.

“Macam saya, hanya dapat purata antara RM2,500 ke RM3,000 sebulan jika hanya sewa basikal. Jumlah itu tidak dapat menampung kos operasi termasuk bayar gaji pekerja dan baiki kenderaan rosak,” katanya.

Dalam operasi bermula jam 9.30 pagi itu, kira-kira 100 basikal yang tersadai serta 30 skuter elektrik disita selepas didapati melanggar syarat sah lesen.

Mengikut syarat lesen peniaga yang dikeluarkan pihak DBKL, beca, basikal elektrik, skuter elektrik, kasut roda, papan luncur, skuter dan kenderaan berenjin seumpamanya adalah tidak dibenarkan.

Tindakan sita yang dikenakan dalam operasi itu dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *