Dakwaan Bantuan SARA Cuma Sokong Pasaraya Besar Tidak Tepat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan (outreach) program bantuan SARA di Pasaraya Ekonomi Rakyat di Baling pada 6 September 2025. Foto Shahir Noordin

BALING, 6 Sep – Dakwaan sesetengah pihak kononnya bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hanya memanfaatkan pasar raya besar adalah tidak benar kerana premis berskala kecil turut tersenarai dalam pelaksanaan program berkenaan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil menunjukkan contoh di Pasaraya Ekonomi Rakyat di Kupang di sini hari ini, Perdana Menteri membidas golongan berkenaan kerana peluasan premis bantuan berkenaan turut meliputi produk tempatan yang tergolong dalam kategori asas barangan.

“Pertama, bukan saja pasar raya besar, yang kecil pun termasuk. Keduanya, kita sekarang galakkan tambahan produk tempatan. Kita tengok macam kopi, kopi Baling, kemudian ada kicap dari Kuala Kedah, Alor Setar atau pun di Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan (outreach) program bantuan SARA di Pasaraya Ekonomi Rakyat di Baling pada 6 September 2025. Foto Wan Nabil Nasir

“Barangan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga diberi perhatian supaya pengguna boleh membelinya melalui program SARA,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berpuas hati dengan prestasi sistem pelaksanaan SARA yang dilaporkan lancar sejak beberapa hari lalu ketika tinjauan (outreach) berkenaan dilakukan.

Tambahnya, walaupun berlaku gangguan kecil pada hari-hari awal pelaksanaan bermula 31 Ogos lalu, semua masalah berjaya ditangani dan sistem kini berfungsi dengan baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Majlis Daerah Baling pada 6 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya tengok tadi bukan satu tapi ada tujuh, lapan (penerima SARA) saya periksa, semua nampak berjalan baik.

“Hari pertama dan kedua memang ada sedikit ‘glitch’ (gangguan sementara) tapi sekarang lancar, dalam empat lima hari ini tiada satu pun aduan,” katanya.

Untuk rekod, kapasiti pengesahan kini ditingkatkan kepada 15,000 transaksi seminit berbanding hanya 5,000 seminit dan langkah berkenaan menyelesaikan masalah ‘kesesakan’ di kaunter khas menempatkan SARA.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *