PMR 2025 Di Baling Imbau Nostalgia PM Anwar Pimpin Gerakan Mahasiswa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Majlis Daerah Baling pada 6 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
BALING, 6 Sep – Lawatan kerja Datuk Seri Anwar Ibrahim rupanya bukan sekadar merasmikan majlis penutup Program MADANI Rakyat 2025 Kedah di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini hari ini, malah turut mengimbau kembali kenangan terbabit dalam Demonstrasi Baling 1974 apabila memperjuangkan nasib penduduk miskin di daerah ini bersama gerakan mahasiswa ketika itu.
Perdana Menteri berkata, peristiwa lebih 50 tahun lalu itu memberi beliau banyak pengalaman dan pengajaran dalam perjalanan karier politiknya sehingga menjawat jawatan tertinggi negara ketika ini.

Jelasnya, pengajaran paling penting dalam peristiwa itu adalah pemimpin perlu melakukan yang terbaik untuk rakyat ketika mempunyai masa serta kuasa yang ada.
“Apabila diberitahu akan ke Baling, saya nyatakan memang minat untuk hadir kerana ada sejarah tersendiri. Terima kasih kepada kawan-kawan yang masih ingat segar terlibat dalam peristiwa Baling 1974 itu.

“Beberapa tahun sebelum 1974, Tun Abdul Razak (bekas Perdana Menteri) luncurkan Dasar Ekonomi Baru untuk menjamin kemaslahatan rakyat melalui kaedah serampang dua mata, termasuk usaha pembasmian kemiskinan tanpa kira kaum.
“Namun muncul masalah kemiskinan ketara akibat kejatuhan mendadak harga getah, pekebun kecil hidup dalam keadaan sengsara,” katanya.

Anwar berkata, nasib yang menimpa orang miskin di Baling kemudian sampai ke pengetahuannya yang ketika itu memimpin Angkatan Belia Malaysia (ABIM).
“Mereka (penduduk miskin) bangun di Baling hingga ke Alor Setar menuntut keadilan, berita ini sampai ke Kuala Lumpur dan kami kemudian bangkit sebagai sokongan kepada rakyat.

“Namun akibatnya saya diberi ‘cuti rehat’ (ditahan di bawah ISA) di Kamunting selama dua tahun. Itu peristiwa 1974, sebab itu, Baling tak pernah luput dari ingatan kerana saya sebagai insan yang diberi amanah sentiasa ingat Baling dan masalah kemiskinan rakyat,” katanya.
Untuk rekod, harga getah jatuh ke paras terendah iaitu antara hingga 60 sen sekati kepada 15 sen, menyebabkan ada dalam kalangan penduduk luar bandar jatuh miskin dan ada terpaksa makan ubi gadong yang beracun.
Demonstrasi Baling tercetus pada 19 November 1974 dan kemuncaknya pada 1 Disember kemudian apabila kira-kira 30,000 penduduk berkumpul membantah kejatuhan harga getah. Demonstrasi turut disertai ribuan mahasiswa yang mengambil tindakan sama di ibu kota.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
