Curiga Miliki Cap Keselamatan Meragukan, Wanita Indonesia Ditahan

Wanita warga Indonesia ditangkap kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana memiliki cap keselamatan yang mencurigakan, ketika melalui pemeriksaan imigresen di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan hasil siasatan awal mendapati, wanita itu memasuki Malaysia melalui imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor.
“Namun, pemeriksaan lanjut melalui Sistem MyIMMs menunjukkan tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk bagi subjek sepanjang tempoh sehingga tahun ini.
Susulan itu, wanita berkenaan ditangkap kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu.
Individu terbabit kini ditahan di Depot Imigresen KLIA2, sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Justeru, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab dan tindakan tatatertib akan diambil ke atas mana-mana pegawai yang terbabit.
AKPS juga menegaskan usaha membanteras pemalsuan dokumen perjalanan dan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen akan terus dipergiat, bagi memastikan keselamatan serta integriti pintu masuk negara sentiasa terpelihara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


