Wanita Maut Tergantung Di Kipas Disahkan Dibunuh

Bedah siasat dilakukan di Hospital Serdang dan patologi mengesahkan punca kematian mangsa ialah pendarahan di sekeliling tulang leher. Foto hiasan
SUBANG JAYA, 17 Ogos – Seorang wanita yang ditemukan tergantung pada kipas di ruang tamu kediamannya di USJ 2/1, di sini Khamis lalu dipercayai dibunuh.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan pada 11.55 pagi memaklumkan wanita berusia 20-an ditemukan maut.
Menurutnya, pemanggil yang juga bapa mangsa, menemukan wanita itu di ruang tamu tingkat dua rumah.
“Pembantu perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia. Bedah siasat dilakukan di Hospital Serdang dan patologi mengesahkan punca kematian mangsa ialah pendarahan di sekeliling tulang leher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata, kecederaan pada otot dan tulang berpunca akibat dicekik (manual strangulation).
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi 03-278627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zainol Aazizi Abu Bakar 013-3227632.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


