Curi Motor Di Miri, Suspek Dicekup Di Marudi

Polis berjaya menangkap suspek dan merampas semula motosikal yang dicurinya hasil serbuan di sebuah kediaman di Marudi pada 1 Februari 2026.

MIRI, 3 Feb – Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat kes curi sebuah motosikal berhampiran sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini pada 27 Januari lalu berjaya diberkas polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan tangkapan ke atas suspek terbabit yang berusia 43 tahun.

Katanya, pada 27 Januari lalu, seorang pengadu tampil membuat laporan polis dengan mendakwa motosikalnya jenis Honda NF110 yang diletakkan berhampiran sekolah berkenaan telah hilang dipercayai dicuri.

“Bertindak atas maklumat risikan, pada 1 Februari lalu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah menyerbu sebuah kediaman di Marudi dan menangkap suspek serta merampas sebuah motosikal yang dipercayai harta curi.

“Siasatan lanjut mendapati suspek telah menukar warna dan rim motosikal yang dicuri sebelum diberkas polis serta motosikal berkenaan dirampas,” katanya.

Menurut Farhan, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk curi, ugutan jenayah serta penyalahgunaan dadah, manakala saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Ekoran daripada kejayaan menangkap suspek dan merampas semula motosikal yang dilaporkan hilang, kes ini telah berjaya diselesaikan.

“Suspek kini direman sehingga 4 Februari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai agar terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan segera maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan jenayah.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-433400.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *