13 Kematian Direkod Akibat Kesejukan Di New York – Mamdani

Mamdani berkata, lebih sedozen kematian berkaitan hipotermia telah dilaporkan di New York di tengah-tengah cuaca sejuk yang luar biasa penghujung Januari lalu dalam sidang media pada 2 Februari 2026. Foto Reuters
NEW YORK, 3 Feb – New York merekodkan 13 kematian berkaitan hipotermia ketika bandar itu berdepan gelombang sejuk luar biasa yang melanda sebahagian besar Amerika Syarikat (AS) pada akhir Januari, kata Datuk Bandar semalam.
Metropolis itu ‘berkemungkinan besar sedang berada dalam tempoh paling panjang berturut-turut cuaca di bawah 32 darjah Fahrenheit (0 darjah Celsius) dalam keseluruhan sejarah bandar ini,” kata Datuk Bandar, Zohran Mamdani.
Beliau memberitahu pemberita seramai 16 penduduk New York meninggal dunia sepanjang tempoh cuaca sejuk berkenaan.

Hipotermia dipercayai menjadi peranan dalam 13 kematian, manakala tiga lagi diklasifikasikan sebagai akibat pengambilan dadah berlebihan.
Tiada seorang pun daripada mangsa berada di jalanan ketika kematian berlaku, tambah beliau.
Sebahagian daripada mereka sebelum ini pernah berhubung dengan perkhidmatan pusat perlindungan kecemasan.
Mamdani berkata, bandar itu sudah mengaktifkan pusat pemanasan kecemasan serta menggerakkan armada 20 kenderaan yang dikendalikan petugas kesihatan.
“Setakat pagi ini, kami sudah menempatkan lebih 930 individu ke pusat perlindungan dan lokasi selamat. Kami juga telah memindahkan secara paksa 18 penduduk New York yang dikenal pasti membahayakan diri sendiri atau orang lain,” katanya.
Antara 2005 hingga 2021, New York merekodkan antara sembilan hingga 27 kematian berkaitan akibat kesejukan setiap tahun, menurut statistik rasmi. Jumlah itu meningkat kepada 34 pada 2021 dan 54 pada 2022.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

