Cukai SST Perlu Lebih Tepat Sasaran Tanpa Membebankan Pengusaha – Lai

percaya pelaksanaan dasar harus berpaksikan prinsip “ketepatan sasaran” dan “kemampuan tanggungan”. SST tidak sepatutnya hanya munasabah dari segi kerangka dasar, tetapi juga perlu menepati realiti di lapangan.
PENDAPAT, 18 Jun – Saya menerima banyak maklum balas daripada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kebelakangan ini berhubung peluasan skop cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), khususnya terhadap barangan dan perkhidmatan yang bukan keperluan asas seperti industri kecantikan dan dandanan.
Saya memahami keperluan kerajaan untuk terus menambah baik struktur percukaian negara. Peluasan sistem SST, termasuk industri perkhidmatan kecantikan, adalah berdasarkan strategi untuk meningkatkan keupayaan kewangan negara dan memperluas asas cukai. Namun begitu, kita tidak boleh mengetepikan realiti kesukaran yang sedang dihadapi oleh PKS pada masa ini.
Menurut pengumuman kerajaan, bermula 1 Julai tahun ini, pengusaha perkhidmatan kecantikan yang mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak RM 500, 000 akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 8%.
Ini termasuk perkhidmatan seperti rawatan wajah, penjagaan kuku, dandanan rambut, gaya rambut, buang tatu, dan rawatan pelangsingan. Walaupun telah ditetapkan ambang tertentu, langkah ini tetap menimbulkan kegusaran dalam kalangan pemain industri yang bimbang beban cukai tambahan akan meningkatkan kos operasi, mengancam kelangsungan perniagaan dan menjejaskan kepercayaan pelanggan.
Saya mendengar keluhan daripada ramai pengusaha industri kecantikan dan dandanan, yang kebanyakannya adalah wanita, pemilik perniagaan kecil, malah ada yang bekerja sendiri. Mereka telah sedia tertekan akibat kenaikan kos bahan mentah, kos buruh, dan keperluan beralih kepada sistem e-invois. Kini, ditambah pula dengan cukai perkhidmatan, mereka mungkin langsung tiada ruang untuk bernafas.
Ada pengusaha menyatakan bahawa kadar sewa premis di pusat membeli-belah sangat tinggi, dan hasil jualan bulanan boleh mencecah RM40,000 dengan mudah. Ini menyebabkan ambang tahunan RM500,000 seolah-olah tidak relevan. Dalam situasi begini, ada kedai mungkin terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos, dan ini boleh menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran.

Dalam jangka masa panjang, saya bersetuju bahawa peluasan asas cukai dan peningkatan ketelusan sistem percukaian adalah langkah reformasi penting ke arah tadbir urus yang baik dan kewangan negara yang mampan.
Namun begitu, saya percaya pelaksanaan dasar harus berpaksikan prinsip “ketepatan sasaran” dan “kemampuan tanggungan”. SST tidak sepatutnya hanya munasabah dari segi kerangka dasar, tetapi juga perlu menepati realiti di lapangan.
Bagi memastikan dasar ini adil dan seimbang, saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan ambang SST bagi industri kecantikan kepada RM1.5 juta setahun, sama seperti ambang yang ditetapkan untuk industri makanan dan minuman.
Langkah ini akan menyasarkan perkhidmatan berunsur mewah dan penggunaan tinggi secara lebih berkesan, tanpa menjejaskan sebilangan besar pengusaha kecil dan sederhana dalam bidang kecantikan dan dandanan.

Kita harus menggalakkan para pengusaha yang mematuhi undang-undang untuk terus maju dan berinovasi, termasuk beralih kepada sistem pengurusan digital. Pada masa yang sama, dasar yang terlalu agresif boleh membawa kesan sebaliknya.
Dalam keadaan ekonomi global yang perlahan dan permintaan domestik yang masih belum stabil, mengekalkan kestabilan PKS bermakna mengekalkan pekerjaan dan ekonomi asas masyarakat.
Saya yakin kerajaan Malaysia Madani adalah kerajaan yang mendengar dan menghargai maklum balas rakyat. Sistem pencukaian perlu melalui pembaharuan, dan pada masa yang sama dapat megimbangkan perlaksanaannya dari aspek masa, ambang dan sasaran.
Lai Chen Heng
Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Wangsa Maju
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

