‘Cerita’ Yang Tak Ada Cerita

Pergolakan dalaman Bersatu antara kem Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin akan mempengaruhi MCA dan MIC sama ada mahu bersama atau sekadar ‘acah-acah’ sahaja.

PENDAPAT, 6 Sep – Sebagaimana kita membaca perihal MCA dan MIC ‘bertemu’ wakil Perikatan Nasional (PN) kononnya macam ‘mintak nyawa’, begitulah nada serupa kita baca terhadap ‘kemungkinan’ Khairy Jamaluddin akan buat ‘comeback’ dalam politik, dengan kembali menyertai Umno – kelakar!

Bukan bermaksud mahu memperkecilkan sebarang usaha atau gerakan (bukan parti yang ‘sendu’ tu), mana-mana pihak, tetapi melihat betapa sukarnya mereka ‘bernafas’ dalam pemerintahan Kerajaan MADANI ini membuatkan kita terfikir, masih adakah sisa-sisa perjuangan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 16 atau setidak-tidaknya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah?

Justeru, bagi ‘mewajarkan’ justifikasi masing-masing, diciptanya pelbagai ‘teori’ seperti MCA dan MIC ‘terpinggir’ dalam Barisan Nasional (BN) serta penyertaan Khairy akan memberi ‘kekuatan’ kembali kepada Umno selepas dipecat pada 2023.

Kadang-kadang kita merasa ‘kesian’ (kasihan) melihat pembangkang tercari-cari ‘peluru’ yang tepat untuk ‘menembak’ kerajaan tetapi nampaknya kesemua ‘peluru’ itu ‘kosong’ tiada kesan seperti isu pengesahan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini.

Pembangkang sibuk cuba membuktikan sistem MyKasih yang digunakan tidak membantu rakyat yang akhirnya menjadi ‘pesta lambakan barangan’ pada hari pertama bantuan disalurkan, pada kita menyambut Hari Kebangsaan 2025.

Tenang menerima kritikan, akhirnya sistem semakin stabil daripada kapasiti 5,000 transaksi seminit, kini ditambah tiga kali ganda menjadi 15,000 transaksi seminit, membuatkan pembangkang terus terdiam.

Usaha Perikatan Nasional (PN) ‘memujuk’ MCA dan MIC bagi memecahkan Kerajaan Perpaduan hanya sia-sia kerana kekuatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas tidak mampu dicabar sama ada Muhyiddin Yassin apatah lagi Hamzah Zainudin.

Ironinya masa mereka menjadi kerajaan ‘tebuk atap’ 33 bulan, tiada pula isu sebegini dibangkitkan kepada mereka, tapi disebabkan mereka sibuk ‘menyakau’ sesama sendiri hingga terbongkar skandal Jana Wibawa tahun lalu.

Berbalik kepada cerita sang ‘ular’ atau lebih tepat lagi KJ, khabarnya surat nak ‘rujuk’ kepada Umno baru dihantar kononnya setelah ‘mempertimbangkan’ kedudukan parti-parti politik yang berada dalam kerajaan.

Dan jelas, semuanya demi ‘test market’ untuk melihat sejauh mana penerimaan pemimpin Umno serta akar umbinya terhadap ‘surat’ berkenaan, mungkin memikirkan dunia ‘glamour’ dalam bidang hiburan tidak akan selama-lamanya popular.

Sikap semberono Akmal Saleh mungkin ‘mendorong’ Khairy Jamaluddin kembali ‘rujuk’ dengan Umno tetapi Umno tidak memerlukan Khairy tetapi Khairy yang lebih perlukan Umno.

Mungkin juga menantu Pak Lah ini menggeleng kepala melihat perangai Ketua Pemuda Umno sekarang bertindak secara semberono tanpa membina negara bangsa dengan enam elemen kerangka Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Tak ada satu pun elemen di atas berjaya ‘dikuasai’ Akmal Saleh sebaliknya memilih jalan sempit meniupkan api perkauman tetapi secara ‘double standard’ iaitu apabila bukan Melayu tersilap pasang Jalur Gemilang, dihentam macam esok nak kiamat tetapi apabila Pemuda Umno Terengganu melakukan kesilapan serupa, tidak pula berhimpun di depan Bangunan Umno Terengganu?

Oklah, cukup kita ulas dua cerita ‘tak penting’ berkenaan dua entiti yang masih tenggelam timbul memikiran nasib masing-masing di saat penyokong pembangkang menantikan ‘lampu Aladdin’ dengan ‘berhimpun’ di mesyuarat agung Bersatu yang juga nampaknya terumbang-ambing dalam ‘menyelamatkan’ Muhyiddin Yassin atau ‘menobatkan’ Hamzah Zainudin menjadi ‘poster boy’ dalam PRU16.

Kita jumpa di lain masa!

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *