Bukan Perkara Pelik Tun Mahathir Jadi Sasaran Siasatan SPRM

Mirzan dan Mokhzani tidak perlu rasa terperanjat atau buat-buat terperanjat dengan siasatan SPRM kerana memang pun Tun Mahathir sebenarnya sasaran sebenar. Foto Arkib
PENDAPAT, 26 Mac – Dua anak lelaki Tun Mahathir Mohamad iaitu Mirzan dan Mokhzani berkata, bapa mereka adalah sasaran sebenar oleh SPRM.
Kata mereka, walaupun mereka yang disiasat SPRM, tetapi suspek sebenar ialah Tun Mahathir.
“Bapa saya adalah suspek utama.
“Kami ada tanya, ‘Bapa saya disiasat berkenaan apa?’ dan mereka tidak dapat memberikan maklumatnya kepada kami.
“Bolehkah anda bayangkan, anda diminta untuk berikan maklumat untuk digunakan bagi mendakwa bapa anda?” kata Mokhzani dalam wawancara bersama Bloomberg minggu lalu.
Apa yang didakwa oleh Mirzan dan Mokhzani ini bukanlah sesuatu yang pelik, jauh sekali daripada memeranjatkan.

Kedua-dua anak Tun Mahathir itu pun tidak harus pura-pura terkejut dan terperanjat mengenainya.
Kedua-dua mereka sepatutnya sedar sejak awal lagi apabila mereka disiasat SPRM dan diminta mengisytiharkan aset kekayaan yang dimiliki, yang disasarkan bukanlah diri mereka.
Sebagai anak bekas Perdana Menteri paling lama berkuasa, meski kekayaan yang mereka miliki disiasat SPRM, seluruh dunia percaya ia adalah atas bantuan serta pertolongan bapa mereka.
Tanpa mempunyai bapa bernama Tun Mahathir, Mirzan dan Mokhzani bukanlah siapa-siapa di dunia ini.
Pokoknya, tiada apa yang pelik dan memeranjatkan mengenai perkara itu, malah Mirzan dan Mokhzan tidak harus pun bercakap dengan media asing tentang perkara itu.
Ahli Pemuda UMNO yang baru pegang jawatan AJK Pemuda cawangan di hujung kampung pun boleh memahaminya.
Tambahan lagi, selama lebih 25 tahun berjuang untuk mendapatkan kerusi Perdana Menteri, sudah beratus kali Anwar menyatakan jika beliau menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir dan Tun Daim Zainuddin adalah dua individu yang akan disiasat dan diselongkar kekayaannya.
Ketika ini Tun Daim sudah pun didakwa, tetapi Tun Mahathir belum lagi.
Apabila Mirzan dan Mokhzani disiasat, ia tentulah dengan mudah boleh difahami bertujuan untuk menyiasat dan mendakwa Tun Mahathir akhirnya.
Membazir masa saja menyiasat Mirzan dan Mokhzani jika bukan bertujuan menjadikan Tun Mahathir matlamat utama.
Menyiasat, mendakwa dan menghukum Tun Mahathir dan Tun Daim, dua orang individu maha kaya yang sering disebut Anwar telah mengumpul kekayaan dengan cara merompak wang negara melalui kuasa yang mereka pegang adalah antara janji yang mengikat, bahkan memikat sebahagian rakyat untuk terus berjuang memastikan Presiden PKR itu berjaya memenuhi impian menduduki kerusi Perdana Menteri.
Kuasa sekarang dalam tangan Anwar dan beliau pasti akan menunaikan janjinya itu.
Menyiasat, mendakwa dan menghukum Tun Mahathir dan Tun Daim adalah janji Anwar yang lebih besar daripada janji menurunkan harga minyak atau menurukan harga barang yang dibising-bisingkan kebelakangan ini. – ShahbudinHusin 26/03/2024.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
