Belanjawan 2026: Penyesuaian Ekonomi Negeri Juga Diutamakan – PM Anwar

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan sesi Libat Urus Belanjawan 2026 bersama pemain industri pelancongan dan pembuatan di Banda Hilir, Melaka pada 27 September 2025. Foto Bernama

MELAKA, 27 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, penyediaan Belanjawan 2026 akan disesuaikan dengan keutamaan ekonomi setiap negeri dan bukan hanya ditentukan di peringkat kementerian sahaja.

Jelas Perdana Menteri, pendekatan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan lancar tanpa mengabaikan keperluan rakyat terutama dalam menangani kos sara hidup.

“Setiap negeri ada kekuatan tersendiri. Seperti di Melaka, tumpuan diberikan kepada sektor pelancongan dan pembuatan, kerana prestasi negeri ini sangat memberangsangkan,” kata beliau pada sesi libat urus Belanjawan 2026 bersama Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Banda Hilir, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Zamzuri Abdul Aziz.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keresahan rakyat akibat kos sara hidup perlu diambil kira, kerana terdapat jurang antara golongan elit dan bawahan.

“Kerana itu pengukuhan ekonomi itu tidak boleh diiktiraf dengan teori ekonomi tradisional, tetapi perlu dikaitkan dengan keperluan dan kebijaksanaan, bagi memastikan masyarakat kita dapat berkembang dan jalan yang diambil adalah munasabah, ringan dan tidak membebankan rakyat,” kata beliau.

Terdahulu sesi libat urus tersebut disertai kira-kira 150 pemain industri pelancongan dan pembuatan selain agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *