BUDI95 Mampu Jimat 61 Sen Seliter – MOF

Penerangan resit inisiatif BUDI95 yang dimuat naik di akaun Facebook MOF pada 30 September 2025. Foto Facebook Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 30 Sep – Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan, orang ramai yang layak menerima inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula sepenuhnya hari ini sebenarnya memperoleh penjimatan sebanyak 61 sen bagi setiap liter.

Menerusi satu kenyataan hari ini, MOF berkata, pengguna bagaimanapun tidak perlu terkejut jika jumlah liter bahan api yang tertera pada terminal pam lebih tinggi berbanding jumlah bayaran dibuat.

Jelas MOF, perbezaan itu merupakan subsidi petrol RON95 yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

 

“Dengan Budi95, anda jimat 61 sen setiap liter. Jangan terkejut kalau jumlah liter di terminal pam menunjukkan jumlah lebih tinggi daripada yang anda bayar.

“Lebihan itu adalah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan. ‘Extra’ (lebihan) liter untuk anda dengan Budi95,” kata MOF di pelantar media sosial hari ini.

MOF menjelaskan kekeliruan pengguna yang menganggap mereka hanya menerima penjimatan sebanyak 6 sen seliter (RM2.05 – RM1.99) sedangkan penjimatan sebenar ialah 61 sen seliter (RM2.60 – RM1.99).

Ini kerana harga RM2.05 seliter hanya dikhaskan kepada kenderaan pengangkutan darat yang berdaftar dengan Sistem Kawalan Petrol Bersubdisi (SKPS) dan harga di pam tanpa BUDI95 ialah RM2.60 seliter.

Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI95 pada harga RM1.99 seliter dianggarkan memanfaatkan lebih 16 juta rakyat Malaysia.

Bagi bukan warganegara pula, harga petrol RON95 adalah pada RM2.60 seliter bermula hari ini sehingga 7 Oktober dan akan dikemaskini setiap minggu seperti biasa.

Orang ramai berpusu-pusu mengisi petrol RON95 bersubsidi menerusi insiatif BUDI MADANI RON95 di Kota Bharu. Foto JaPen Kelantan

Terdahulu, orang ramai teruja berkongsi pengalaman menikmati BUDI95 di media sosial dan reaksi mereka ialah mudah, pantas serta menjimatkan kos pengangkutan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *