BRICS: Sokongan Penuh Presiden Xi Jinping Bukti China Iktiraf Peranan Malaysia

Sokongan penuh Presiden China Xi Jinping terhadap keanggotaan Malaysia dalam BRICS mengiktiraf peranan penting negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 3 Sep – Sokongan penuh Presiden China, Xi Jinping bagi menyegerakan keanggotaan penuh Malaysia dalam perkumpulan BRICS ketika pertemuan di Great Hall of The People, Beijing, membuktikan peranan penting Malaysia dalam memastikan kesejahteraan dan keamanan global dapat direalisasikan.
Pengiktirafan daripada pemimpin kuasa besar dunia itu tidak lain tidak bukan pastinya disokong pengasas BRICS lain seperti Brazil, Afrika Selatan dan Russia yang melihat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjaya mendamaikan Thailand dan Kemboja yang bertelingkah berkenaan isu sempadan kedua-dua negara.
Khabar gembira daripada Perdana Menteri itu dizahirkan Xi semasa pertemuan mereka dalam acara kunjungan hormat Anwar ke atas Presiden China itu pada 2 September 2025.

“Presiden Xi menyatakan sokongan penuh beliau untuk menyegerakan penyertaan Malaysia sebagai anggota penuh BRICS.
“Ini satu penghormatan besar atas dukungan terhadap negara kita untuk terus memainkan peranan penting di pentas dunia,” kata Anwar.
Menghadiri Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tianjin atas jemputan Presiden Xi sudah cukup memberi isyarat bahawa wibawa Perdana Menteri dalam memperjuangkan isu Gaza dan global terbukti dihargai dan menerima pujian termasuk daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif serta Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

BRICS yang ditubuhkan pada 2009 kini dianggotai 11 negara termasuk Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan dan Mesir. Malaysia menjadi negara rakan blok itu pada awal 2025.
Pengukuhan kerjasama dua hala sudah menjadi kelaziman Presiden Xi dan Anwar apatah lagi ini merupakan pertemuan keempat sejak kali terakhir semasa Lawatan Negara pemimpin nombor satu China itu ke Malaysia pada 15 hingga 17 April lalu.
Selain berperanan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga kini muncul sebagai pengantara antarabangsa setelah Bangkok dan Phnom Penh bersetuju dengan terma dan syarat gencatan senjata yang kekal sehingga ke hari ini.

Ini merupakan salah satu titik tolak mengapa Presiden Xi menyokong penuh keanggotaan Malaysia dalam BRICS yang mampu mengimbangi blok ekonomi dunia lain seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).
Walaupun belum ada kata putus daripada para pemimpin BRICS setakat ini, namun dengan sokongan China dan Brazil, tidak mustahil Malaysia akan menjadi anggota penuh satu hari nanti.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
