Bot Terbalik, Wanita Hilang Ketika Memancing Ditemukan Lemas

Mayat mangsa seorang wanita diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Foto Ihsan Jabatan Bomba
TANJONG KARANG, 31 Jul – Wanita yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya bersama suami terbalik, kelmarin, ditemukan lemas di jeti Bagan Pasir di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 27 tahun ditemukan nelayan, 9.21 malam, pada jarak kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 8.57 malam kelmarin.
Katanya, menurut laporan, suami isteri berkenaan pergi memancing dengan menaiki bot persendirian, sebelum ia terbalik.
“Sepasukan empat anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat seorang mangsa iaitu lelaki berusia 40 tahun berjaya diselamatkan nelayan.
“Pihak berkuasa kemudian menjalankan kerja-kerja mencari mangsa wanita itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Samsol Maarif berkata, selepas ditemukan, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

