Bertindak Segera, Penyakit Mental Semakin Meruncing Di Kelantan – Dr Hafidzah

Video tular menunjukkan seorang wanita cuba terjun ke Sungai Kelantan di Jambatan Tendong pada Ahad namun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi ketika kejadian. Foto kecil: Dr Hafidzah Mustakim

KOTA BHARU, 31 JulKerajaan negeri digesa berbuat sesuatu termasuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Menangani Masalah Kesihatan Mental di Kelantan yang semakin meruncing kebelakangan ini.

ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim menggesa kerajaan negeri bertindak segera terhadap isu berkenaan memandangkan serius kejadian bunuh diri dan cubaan bunuh diri berkait rapat dengan kesihatan mental rakyat di negeri ini.

Ia juga merupakan petanda keparahan tahap kesihatan mental rakyat di negeri ini dan kejadian baru-baru ini adalah kejadian ketiga untuk tahun ini dan yang ke-19 direkodkan sejak tahun 2021.

“Sekali lagi kita dikejutkan dengan cubaan bunuh diri di Kelantan semalam. Kali ini kejadian berlaku di Jambatan Sultan Yahya Petra, Tendong membabitkan seorang wanita.

“Tindakan pantas seorang anggota keselamatan menyelamatkan wanita tersebut daripada kejadian yang boleh meragut nyawanya sendiri.

“Kita mahu tunggu tahap mana sehingga kita selaku anggota masyarakat dan khususnya pihak berkuasa kerajaan yang diamanahkan menjaga negeri ini mahu berbuat sesuatu.

“Kita tidak menafikan usaha-usaha kerohanian dan spiritual termasuk solat hajat yang perlu dilakukan namun kita mesti berbuat lebih dari itu,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Hafidzah menggesa agar Kerajaan Negeri Kelantan menubuhkan jawatankuasa berkenaan membabitkan semua pemegang taruh termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Agama dan Hal Ehwal Islam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, PDRM, wakil ibu bapa, NGO dan pihak lain yang berkaitan untuk membincangkan penyelesaian dan langkah bagaimana menangani gejala bunuh diri dan cubaan bunuh diri ini.

Menurutnya lagi, setiap anggota masyarakat memainkan peranan meningkatkan pengetahuan dan mempromosikan mental yang sihat dalam kehidupan. Petanda dan gejala penyakit mental seperti kemurungan dan keresahan melampau (anxiety) mesti dikenal pasti awal dan rawatan pakar diperolehi segera bagi mengelakkan gejala parah seperti yang berlaku semalam.

Dr Hafidzah turut menggesa pihak berwajib memasang papan tanda membawa mesej rahmah dan kasih sayang di permulaan dan sepanjang jambatan tertentu sebagai salah satu tindakan awal mencegah gejala berkenaan dari menular.

“Talian bantuan seperti HEAL (Help with Empathy and Love) 15555 yang diusahakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mesti disebarluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat agar mereka tahu masih ada yang sayang dan mahu mendengar permasalahan mereka.

“Semoga kita dapat menggembleng usaha memastikan kesejahteraan warga kita agar terselamat daripada penyakit mental yang mengancam nyawa dan kehidupan. Ingatlah Mental yang Sihat merupakan hak semua. Marilah kita berganding bahu mengusahakannya,” ujarnya lagi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *