Berhentilah Menyusahkan Istana

Kegilaan seorang bekas perdana menteri yang ‘koyak’ apabila anaknya disiasat SPRM sudah sampai ke kemuncaknya apabila ‘mencemar duli’ sanggup turun menyelamatkan anak serta kroni-kroninya. Foto Malay Mail

PENDAPAT, 24 JanNampaknya masih ada lagi ‘drama’ untuk cuba mempengaruhi istana memohon supaya kedudukan PMX dinilai semula.

Kumpulan ini turut melibatkan bekas Perdana Menteri yang usianya sudah mencecah 98 tahun untuk berhimpun di luar Istana Negara pagi semalam.

Turut diheret sama adalah berapa kelompok insan-insan lain yang telah dipengaruhi dengan cerita-cerita manis kononnya ‘istana menanti’ kehadiran mereka.

Alahai…

Kenapalah masih mahu dilibatkan istana dalam ‘drama’ ini, sedangkan Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah bertitah yang baginda tidak akan campur tangan dalam soal politik?

Kegilaan seorang bekas perdana menteri yang ‘koyak’ apabila anaknya disiasat SPRM sudah sampai ke kemuncaknya apabila ‘mencemar duli’ sanggup turun menyelamatkan anak serta kroni-kroninya. Foto Malay Mail

Bahkan Yang Dipertuan Agong juga pernah bertitah mengharapkan supaya Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri terakhir sehingga berakhir penggal pemerintahan baginda.

Dengan itu, mengapa masih mahu diganggu istana dengan isu menukar Perdana Menteri?

Lebih buruk lagi kerana cubaan menyusahkan istana itu dilakukan di ketika Yang Dipertuan Agong hanya kira-kira berbaki seminggu sahaja lagi sebelum menamatkan tempoh pemerintahan selaku ketua negara.

Sepatutnya dalam hari-hari terakhir sebelum berangkat pulang ke negeri Pahang, Yang Dipertuan Agong hendaklah diraikan dengan perkara-perkara yang menggembirakan dan menyenangkan, bukan mengganggu baginda dengan desakan menukar kerajaan.

Apakah himpunan yang diadakan di hadapan Pintu 2 Istana Negara untuk selamatkan rakyat atau selamatkan anak dan kroni? Foto Malay Mail

Cukuplah dengan pertukaran beberapa Perdana Menteri yang berlaku dalam tempoh pemerintahan lima tahun Sultan Abdullah selaku Yang Dipertuan Agong sebelum ini.

Tidak perlu disusah dan dibebankan lagi baginda dengan episod seterusnya untuk menukar Perdana Menteri.

Lagi pula, jangan ingat menukar Perdana Menteri seperti menukar baju yang boleh dilakukan bila-bila sahaja disukai.

Selain ada prosesnya, bertukar Perdana Menteri juga mempunyai kesan tertentu kepada rakyat dan negara.

Sebab itu, ia bukan boleh dibuat main-main dan jika negara ingin kestabilan agar rakyat dapat manfaat, gangguan terhadap kerajaan haruslah dinoktahkan segera.

Tun M Harus Muhasabah Diri Pada Usia ‘Senja’ – Fahmi

Kalau mahu menukarnya kerajaan atau mahu menjadi Perdana Menteri tunggu sahaja PRU16 nanti. Bertandingkan untuk dinilai oleh rakyat Malaysia .

Mengapa mereka yang ghairah mahu menukar kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri ini tidak sanggup menunggu ketibaan PRU16?

Semalam juga berlangsung majlis menghadap yang merupakan rutin mingguan PMX kepada Yang Dipertuan Agong sebelum berlangsungnya mesyuarat kabinet.

Majlis menghadap pra mesyuarat kabinet itu adalah yang terakhir sebelum tempoh pemerintahan baginda berakhir pada 30 Januari ini.

Serbuan SPRM Bukan Bermotif Politik, Dendam Tapi Untuk Tegakkan Keadilan – Andre Lai

Maka, cukup-cukuplah mengganggu istana dengan kemaruk tidak berkesudahan mahu menukar kerajaan.

Berdamailah dengan takdir . Terimalah hakikat yang Anwar adalah PMX yang sedang menerajui Kerajaan Madani yang teguh lagi utuh.

  • Oleh Noraini Nordin

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *