Serbuan SPRM Bukan Bermotif Politik, Dendam Tapi Untuk Tegakkan Keadilan – Andre Lai

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai berpandangan serbuan SPRM ke atas individu berprofil tinggi dilakukan bukan bermotifkan politik atau dendam tetapi untuk keadilan. Foto Andre Lai
KUALA LUMPUR, 21 Jan – Rakyat diingatkan tiada campur tangan eksekutif terhadap serbuan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas individu berprofil tinggi akhir-akhir ini, sebaliknya ia dilakukan setelah siasatan mendalam dibuat agensi anti-rasuah itu.
Siasatan yang dijalankan juga bukan bermotifkan politik atau balas dendam sebaliknya ia dilakukan berdasarkan fakta bahawa kecurian dan penyalah gunaan kuasa eksekutif telah dilakukan pemimpin terdahulu.
Ini ditegaskan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai yang menjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kuasa mengarahkan SPRM menjalankan siasatan terhadap individu berprofil tinggi termasuk beberapa bekas Perdana Menteri.
”Naratif pembangkang kononnya kerajaan mengarahkan SPRM menyiasat pemimpin politik dan ahli perniagaan disifatkan tidak bertanggungjawab kerana agensi itu diberi kebebasan seluas-luasnya menyiasat sesiapa sahaja termasuk menteri dan pegawai Kerajaan MADANI sekarang.

”Sebaliknya tuduhan bahawa Perdana Menteri kononnya mengarahkan SPRM menjalankan siasatan menunjukkan mereka amat terdesak menyelamatkan diri masing-masing hingga timbul cerita ‘Langkah Dubai’ yang mereka cuba nafikan,” katanya.
Beliau mengulas serbuan SPRM terhadap kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri kelmarin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 bilion.
Ia merupakan antara serbuan ke atas individu berprofil tinggi agensi itu setelah menjalankan siasatan ke atas bekas pemimpin negara dan ahli keluarga mereka.
Kehadiran pegawai SPRM di kediaman ahli perniagaan yang terletak di ibu negara itu dipercayai dilakukan pada jam 10 pagi.
Menurut sumber, turut diserbu iaitu empat syarikat termasuk salah satu daripadanya adalah syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dihadiri pegawai SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.
Mengulas lanjut, Andre yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju berkata, ketegasan Perdana Menteri membasmi rasuah mampu memulihkan imej negara bagi jangka masa panjang.
”Skandal kewangan seperti 1MDB dan Konsortium Perkapalan sebagai contoh, tidak wajar diulangi yang menjejaskan nama baik negara malah kesediaan PM membenarkan SPRM menyiasat anggota kabinet dan pegawai kerajaan membuktikan betapa seriusnya kerajaan memerangi rasuah.
Basmi Rasuah Dan Penyelewengan Jadi Teras Utama Kerajaan Perpaduan Malaysia
”Saya juga mengingatkan parti pembangkang agar tidak cuba mempolitikkan isu ini demi kepentingan politik sempit mereka yang cuba menuduh kerajaan zalim dan tidak berperi kemanusiaan.
”Indeks Persepsi Rasuah yang jatuh pada era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menginsafi mereka bahkan seolah cuba ditutup dengan kelemahan tatakelola yang membolehkan SPRM menyiasat dan membawa mereka ke muka pengadilan,” tambahnya.
Terdahulu Perdana Menteri berkata bukan mudah untuk menjalankan sebarang siasatan terhadap golongan kenamaan.
Justeru, beliau meminta rakyat menyokong usaha kerajaan dalam menyiasat golongan atasan termasuk individu yang bergelar Tun berhubung kecurian dana kerajaan.
“Kami akan kejar penyangak itu, saya tidak peduli …bila kita nak ambil tindakan (ke atas golongan tersebut) rakyat marah, Perdana Menteri ini kasar sangat. Bagi saya aneh, sepatutnya kamu sokong. Bukan senang tahu, mahu siasat Tun, Tun.
Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah lagi senang, saya mahu siasat orang kaya yang besar-besar curi duit ingat senang ke? Tak senang. Kita mahu jaga negara ini, jangan bagi orang curi harta rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Klang @ Padang Chetty di sini pada Sabtu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
