Belanjawan 2026 Cipta Sejarah Perkenal Pendidikan Percuma Kepada Pelajar Miskin Di IPTA

Bantuan melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA, dengan peruntukan RM120 juta setahun, merupakan langkah yang sebenarnya tidak diduga sesiapa namun mampu direalisasikan Anwar dan Kerajaan MADANI, kata Abul Jais.
PENDAPAT, 12 Okt – Dalam apa yang disifatkan detik bersejarah sistem pendidikan tinggi negara, apa yang pembangkang cuba ‘lakukan’ selama ini tetapi gagal, kini mula menampakkan sinar awal buat anak bangsa di bawah Kerajaan MADANI.
Belanjawan 2026 tidak hanya memfokus kepada pembangunan fizikal dan pelaksanaan projek berkepentingan negara, malah pemerkasaan sumber manusia menerusi bidang pendidikan tinggi negara turut menjadi keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemberian pendidikan percuma menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA, dengan peruntukan RM120 juta setahun, merupakan langkah yang sebenarnya tidak diduga sesiapa namun mampu direalisasikan Anwar dan Kerajaan MADANI.
Pengumuman Anwar itu sebenarnya mencerminkan kesungguhan beliau membantu golongan berpendapatan rendah yang selama ini terbeban dengan kos pengajian tinggi di universiti sedangkan mereka memperolehi keputusan cemerlang pada peringkat SPM dan STPM.

Manakala Anwar turut memaklumkan, kerajaan turut bersetuju mengecualikan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua mahasiswa yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah serta menengah.
Inisiatif ini pula akan memanfaat sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun yang jelas mengiktiraf kejayaan graduan cemerlang seterusnya membantu kepada pembangunan ekonomi negara.

Inisiatif ini juga memberi iktibar kepada masyarakat bahawa tiada golongan terpinggir dalam limpahan kemakmuran negara dan dalam masa sama mengeluarkan mereka dari kancah kemiskinan menerusi peningkatan taraf kehidupan apabila tamat pengajian dan memperolehi pekerjaan bergaji tinggi.
Inilah hasrat terbesar yang selama ini gagal direalisasikan pakatan pembangkang tanpa tekad politik padu dan hanya mampu mencipta retorik palsu tetapi tidak mampu melaksanakannya biarpun dalam skala kecil.
Adalah jelas pembangkang tidak mampu memanipulasi inisiatif yang diumum Perdana Menteri terutama berkaitan pendidikan tetapi hanya mampu mencipta isu picisan yang tidak membantu kepada perkembangan dan kemajuan negara.
Syukur, Kerajaan MADANI memahami hasrat dan harapan rakyat dalam memastikan keadilan terus ditegakkan iaitu yang kaya membantu dan yang kurang berkemampuan diajak bersama-sama bangkit menikmati kemakmuran negara.
ABUL JAIS ASHFAQ AHMED
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
