Kibar Bendera Isr*el: Rayer Kecam Pas Diam Membisu

Rayer mempersoalkan sama ada sikap membisu dan berdiam diri itu disebabkan kejadian tersebut berlaku di Kelantan.
KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan sikap membisu pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung insiden bendera Israel yang dikibarkan ketika kempen solidariti untuk Palestin yang diadakan di Sungai Kelantan, kelmarin.
Beliau turut mempersoalkan sama ada sikap membisu dan berdiam diri itu disebabkan kejadian tersebut berlaku di Kelantan.
“Pembangkang terus membisu. Di manakah PAS? Di manakah Bersatu? Mengapa diam? Adakah kerana ia berlaku di Kelantan? Bagaimana perkara ini boleh terjadi?

“Bayangkan jika perkara ini berlaku di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Rayer turut mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka yang mengibarkan bendera Israel ketika program itu, seolah-olah wujud tindakan dua darjat.
“Pihak berkuasa mesti bertindak. Bertindak segera. Jangan ada dua darjat,” katanya.

Terdahulu, program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza yang berlangsung di Sungai Kelantan terpalit kontroversi selepas bendera Israel turut dikibarkan dan videonya tular di laman sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan perdebatan dalam kalangan warga maya.
Bagaimanapun, penjelasan pengarah program itu kononnya ia hanya gimik bertujuan memperlihatkan tindakan ganas yang dilakukan oleh rejim Zionis semasa menyerang sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini, serta kekejaman ke atas penduduk Palestin, ditempelak warganet hingga mencetuskan keresahan awam terutama di negeri itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
