PRU-15 – SPR Mesyuarat 20 Oktober Bersama Dengan PRK Bugaya

PUTRAJAYA, 11 Okt – Mesyuarat khas untuk membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah akan diadakan pada 20 Oktober ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Indera Ikmalrudin Ishak memaklumkan, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi, Abdul Ghani Salleh itu akan diadakan di Menara SPR Putrajaya pukul 10 pagi.

“Mesyuarat khas akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU15 dan PRK DUN Bugaya, seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan kedua-dua pilihan raya.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin untuk memberi laluan kepada PRU15.

Kerusi DUN Bugaya ketika ini kosong berikutan penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah dilaporkan meninggal dunia pada 17 November 2020.

Wakil rakyat berusia 65 tahun itu dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat derita sakit buah pinggang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *