Bantuan Tunai BUDI Diesel Individu, BUDI Diesel Agri-Komoditi Sudah Ditambah RM100 Kepada RM300

Kerajaan MADANI menaikkan bantuan tunai BUDI Diesel daripada RM200 kepada RM300 bermula 17 Mac 2026. Foto MOF
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ramai yang masih tidak sedar bahawa Kerajaan MADANI telah menaikkan bantuan tunai secara interim (sementara) bagi penerima BUDI Diesel Individu dan BUDI Diesel Agri-Komoditi sebanyak RM100 menjadi RM300 bagi bulan Mac 2026.
Sebelum ini, bantuan tunai bagi kedua-duanya adalah RM200.
Kenaikan secara sementara ini berkuat kuasa 17 Mac lalu, kata Kementerian Kewangan yang berkata, langkah ini bagi membantu meringankan beban pengguna diesel susulan kenaikan harga minyak global.
Permohonan boleh dibuat melalui budidiesel.gov.my.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bantuan interim berkenaan dilakukan bermula pada tarikh berkenaan.
Kerajaan mengumumkan perlindungan tersebut ketika harga pam diesel di Semenanjung naik 80 sen seliter, menjadikan harga runcit diesel di Semenanjung cecah RM3.92 seliter bagi tempoh 12 Mac hingga 18 Mac.
“Kerajaan akan terus melindungi rakyat melalui inisiatif subsidi bersasar BUDI Madani serta bantuan tunai tambahan, tatkala pasaran minyak global terus berdepan ketidaktentuan,” menurut Kementerian Kewangan.
Kementerian berkata, usaha penguatkuasaan akan dipertingkat bagi membendung ketirisan serta mencegah penyalahgunaan bahan api bersubsidi, dan kerajaan komited mengimbangi perlindungan kepada rakyat dengan kebertanggungjawaban fiskal dalam pengurusan subsidi negara.
BUDI Diesel: Kerajaan Salur Bantuan Interim RM100 Mulai 17 Mac
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


