Malaysia Gesa Gencatan Senjata Diperluas Merangkumi Lubnan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam serta menyuarakan kebimbangan terhadap situasi keselamatan yang semakin meruncing di selatan Lubnan pada 25 Mac 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Malaysia menggesa pelaksanaan gencatan senjata konflik di Asia Barat diperluas merangkumi Lubnan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di media sosial malam ini, Perdana Menteri berkata, gesaan itu disuarakan beliau dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam memandangkan negara itu terjejas teruk, dengan kira-kira satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal serta lebih 1,000 mangsa terkorban.

“Saya menegaskan sokongan Malaysia terhadap kedaulatan Lubnan, mengutuk serangan ke atas infrastruktur awam serta menyeru semua pihak untuk meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog, di samping menyentuh situasi kemanusiaan yang semakin mendesak,” ujar Anwar.

Dalam perbualan itu, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan sejawatnya serta menzahirkan penghargaan atas sokongan kerajaan Lubnan dalam menjaga keselamatan dan kebajikan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Mengakhiri perbualan, saya menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Lubnan dan rakan antarabangsa dalam memulihkan keamanan dan kestabilan serantau,” ujar Anwar lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan menerusi telefon bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada 25 Mac 2026. Foto PMO

Terdahulu, Anwar mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani serta menyokong langkah Pakistan menjadi pengantara kepada rundingan Iran-Amerika Syarikat.

Media melaporkan Israel telah membedil Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan negara itu sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Hizbullah, yang disokong Iran pada 2 Mac lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dalam suasana Aidilfitri yang penuh makna pada 25 Mac 2026. Foto X Anwar Ibrahim

Pihak berkuasa Lubnan menyatakan sekurang-kurangnya 1,039 orang telah terkorban, manakala 2,876 lagi cedera dalam serangan Israel setakat ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *