Bantuan SARA RM100 Tambahan Kepada MySARA Dan STR Untuk Rakyat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan (outreach) program bantuan SARA di Pasaraya Ekonomi Rakyat di Baling pada 6 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 7 Sep – Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali beri kepada individu berumur 18 tahun ke atas kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukanlah penyelesaian tunggal, sebaliknya antara langkah kerajaan untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup.
Perdana Menteri berkata, bantuan yang disalurkan bermula 31 Ogos lepas, merupakan mekanisme tambahan kepada program MySARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada.

“Kita bercakap soal SARA, memang ada yang mencemuh kata RM100 nak buat apa. Tapi mereka lupa, SARA (sekali beri) ini tambahan daripada MySARA, tambahan daripada STR. Berapa jumlah yang kita salurkan kepada rakyat? Sembilan juta orang.
“Bila saya bincang dengan kawan-kawan di luar negara, terutama pemimpin ASEAN, mereka bertanya, dengan penduduk 34 juta, kita belanja RM15 bilion untuk bantu sembilan juta orang.

”Kebanyakan mereka jawab, itu sesuatu yang mereka tidak mampu buat,” katanya dalam ucapan yang dikongsi melalui rakaman video di Facebook hari ini.
Ucapan itu disampaikan Anwar pada majlis penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, semalam.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyatakan bahawa pelaksanaan SARA menjadi contoh kepada pemimpin negara luar walaupun mereka mengakui ia sesuatu yang sukar dilaksanakan.
Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan hari ketujuh pelaksanaan SARA berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM100 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat 10.30 malam, dengan kadar kejayaan transaksi berada pada 99.9 peratus.

Penghargaan SARA atau SARA sekali beri yang diumum sempena Hari Kebangsaan 2025, memberi manfaat kepada 22 juta rakyat melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi program STR dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
