Perpecahan Dalaman Bersatu Sukar Dielak Lagi

Amat malang sekali apabila beberapa pemimpin parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) turut ‘terbabit’ menyaksikan ‘drama’ yang disajikan serta menerima reaksi pelbagai di media sosial.

KUALA LUMPUR, 7 Sep – Insiden memalukan yang tercetus ketika Muhyiddin Yassin menyampaikan ‘amanat’ Presiden Bersatu malam tadi sebenarnya berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri yang berdolak-dalik sejak dua tahun lalu.

Lantas, perpecahan dalaman khususnya membabitkan dua kem dalam parti itu seakan tidak mampu ‘disembunyikan’ lagi dengan bantahan demi bantahan diterima parti itu sebaik keputusan pemilihan jawatankuasa peringkat Armada, Srikandi dan Srikandi Muda diumumkan tahun lalu.

Menurut penganalisis politik, ibarat ‘retak menanti belah’, perpecahan dalam parti itu semakin ketara, malah ia diburukkan lagi dengan keputusan di peringkat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi penggal 2024-2027.

Imej tangkap layar kekecohan yang berlaku semasa ucapan dasar Muhyiddin pada PAT Bersatu di Shah Alam pada 6 September 2025.

“Saya berpandangan kemenangan Hilman (Muhammad Hilman Idham) sebagai Ketua Armada dari kem Azmin (Mohamed Azmin Ali) dan Muhammad Faiz Rahmad sebagai Naib Ketua dari kem Hamzah (Hamzah Zainudin) bakal menghuru-harakan keadaan parti dan dijangka sukar bekerjasama antara satu sama lain.

“Malah selepas pemilihan pun saya lihat sukar untuk kedua-dua pemimpin Armada ini mencapai kata sepakat untuk menjernihkan semula hubungan dalam kalangan pemimpin muda dan ahli Armada sendiri,” kata Muhamad Taufik Yaakub.

Ini diburukkan lagi dengan pergaduhan yang dimulakan malah dikatakan telah ‘dirancang’ awal bagi tujuan ‘memalukan’ Muhyiddin di hadapan para perwakilan dan pengamal media malam tadi.

Apakah Bersatu telah ‘terkena’ doa ‘qunut nazilah’ yang dibacakan pemimpin Pas hingga berlaku pergelutan sesama sendiri?

Amat malang sekali apabila beberapa pemimpin parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) turut ‘terbabit’ menyaksikan ‘drama’ yang disajikan serta menerima reaksi pelbagai di media sosial.

Walaupun difahamkan Armada Bersatu sudah membuat laporan polis, namun aib yang telah terpalit amat sukar diubati sama ada dari Muhyiddin atau Hamzah, malah Azmin sekalipun kerana yang jelas parti itu bukannya mahu memperjuangkan nasib rakyat, tetapi hanya semata-mata mahu memastikan Muhyiddin kembali ke Putrajaya buat kali kedua.

Tiada lagi harapan dapat diberikan kepada rakyat ekoran insiden paling ‘tragis’ dalam sejarah Bersatu sendiri di saat PN berada pada titik paling lemah, paling tidak berfungsi dan paling tidak diyakini mampu mengubah nasib rakyat.

‘Drama’ kekecohan semasa ucapan Muhyiddin menenggelamkan apa sahaja ‘seruan’ atau ‘nasihat’ agar tidak berlaku pergolakan dalaman.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *