Banjir Sabah: PM Anwar Salur Peruntukan Segera RM10 Juta

Peruntukan segera sebanyak RM10 juta diumum Perdana Menteri bagi membantu mangsa banjir yang melanda Sabah pada 15 September 2025. Foto pembaca
KUALA LUMPUR, 15 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa banjir yang melanda di Sabah ketika ini.
Menurut Perdana Menteri, dana berkenaan akan disalurkan terus untuk pembaikan segera kemudahan asas serta memastikan bantuan sampai kepada rakyat tanpa sebarang gangguan.
“Selain daripada peruntukan sebanyak RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri, saya telah meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui NADMA untuk disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut memaklumkan seluruh jentera Kerajaan MADANI sudah digerakkan dengan segera bagi memastikan setiap keluarga yang terkesan menerima bantuan sewajarnya.
“Saya sangat terkesan akan dampak bencana banjir yang sedang melanda negeri Sabah saat ini. Saya menyeru semua pihak bersatu dan berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu rakyat seluruhnya.
“Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
