ECRL: Malaysia Sedia Bincang Dengan Thailand Jajaran Ke Sungai Golok – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika wawancara bersama pengacara China Global Television Network (CGTN) Zheng Junfeng baru-baru ini. Foto CGTN Biz
KUALA LUMPUR, 15 Sep – Malaysia sedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan baharu Thailand berhubung lanjutan keterhubungan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Malaysia sehingga ke sempadan Sungai Golok, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, Malaysia tidak berhasrat menghentikan laluan ECRL setakat di pantai timur Semenanjung, sebaliknya mahu ia dilanjutkan sehingga ke sempadan Thailand.
“Projek ini hampir siap sepenuhnya dan saya berada di sini untuk membincangkan kemungkinan (melanjutkan jajaran) hingga ke sempadan Thailand kerana jaraknya kecil iaitu kira-kira 25 kilometer dan kita tidak mahu berhenti di utara negara sahaja.

“Diharap dengan kerajaan Thailand yang baharu atau sedia ada, kita dapat berbincang mengenai kemungkinan lanjutan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif program BizTalk yang disiarkan portal media China, CGTN.com, hari ini.
Ditanya mengenai hasil pelaburan ECRL untuk rakyat Malaysia dalam tempoh jangka panjang, Anwar berkata, ia bukan sekadar menghubungkan stesen ke stesen, sebaliknya satu strategi membantu perniagaan tempatan.

“Potensinya dapat memacu pertumbuhan ekonomi, bukan sahaja di bandar tetapi juga di pinggir bandar dan luar bandar.
“Malah, saya sendiri ke kawasan terpencil di utara Semenanjung Malaysia berhampiran sempadan Thailand dan mahukan ekosistem pembangunan bandar dan kawasan itu mempunyai penyelesaian yang seimbang,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pengembangan Pelabuhan Kuantan bukan sahaja berperanan penting dalam perdagangan dengan China, malah kawasan pesisir Thailand, Laos dan Vietnam.

“Pelabuhan Kuantan perlu dikembangkan kerana ia penting dari sudut perdagangan memandangkan sebelum ini kebanyakan pembangunan tertumpu di Pantai Barat.
“Pelabuhan Klang sudah berada dalam kedudukan 10 pelabuhan terbaik dunia dan pengembangan Pelabuhan Kuantan yang selama ini agak terpinggir mampu diperkasakan sebagai pusat pertumbuhan penting,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
