Banjir Sabah: MCMC Perkukuh Usaha Pulihkan Komunikasi Mangsa Bencana Menerusi PRIME, NADI

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengaktifkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dan perkhidmatan internet komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) ke kawasan Kampung Cendrakasih dan Penampang pada 15 September 2025. Foto MCMC
PUTRAJAYA, 15 Sep – Berikutan situasi bencana ekoran banjir dan tanah runtuh yang melanda Sabah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh usaha bagi memastikan mangsa bencana kekal terhubung melalui penyediaan kemudahan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dan perkhidmatan internet komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Komunikasi Korporat hari ini, MCMC memaklumkan PRIME iaitu kenderaan mudah alih dilengkapi sokongan komunikasi telah diatur gerak ke Kampung Cendrakasih dan Penampang.

Langkah tersebut dilakukan bagi membantu komunikasi antara pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur talian elektrik yang sedang dipulihkan pasukan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Ini termasuk kesemua 131 NADI di seluruh negeri itu diaktifkan untuk menyediakan capaian internet kepada masyarakat terkesan agar mereka kekal berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa.
Difahamkan sebanyak 266 menara telekomunikasi setakat ini dilaporkan terjejas akibat gangguan bekalan elektrik dan daripada jumlah itu, lebih separuh atau 147 menara kembali beroperasi, dengan kerja-kerja pemulihan giat dilaksanakan secara berperingkat bersama syarikat telekomunikasi.

MCMC juga menubuhkan Pasukan Petugas bersama syarikat telekomunikasi dan SESB bagi memantau keadaan semasa di tapak terkesan.
Mesyuarat berkala memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan collector sites (tapak utama yang mengawal liputan komunikasi di kawasan sekitarnya) dan tapak kritikal yang dikenal pasti sebagai sasaran penting, selain memastikan penyaluran bekalan kuasa sementara melalui set generator bagi mempercepat proses pemulihan komunikasi.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi serta pihak berkuasa negeri dan Persekutuan bagi memastikan komunikasi dan capaian internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, seramai 12 mangsa disahkan terkorban di beberapa daerah antaranya Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menggerakkan semua agensi berkaitan membantu mangsa bencana di setiap daerah.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
