Israel: PM Anwar Gesa Tindakan Balas Keras Mesti Dilaksanakan, Hubungan Perdagangan, Diplomatik Dihentikan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Kenyataan Negara ketika di Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar pada 15 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
DOHA, 15 Sep – Tindakan rejim Zionis Israel menyerang Doha pada 9 September lalu membuktikan mereka sengaja mensabotaj usaha pendamaian yang sedang berjalan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di sini hari ini, Perdana Menteri menekankan bahawa kecaman terhadap Israel sudah lama berlarutan, namun rejim itu terus melanggar undang-undang antarabangsa serta mencabul kedaulatan beberapa negara Islam termasuk Qatar.

“Kepada kita yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat, terdapat tanggungjawab yang khusus. Apabila Amerika mencari dialog dengan Iran, Israel menjawab dengan bom. Apabila Washington menggalakkan usaha pendamaian dengan Hamas, Israel menyerang di sini, di Doha.
“Dan hari ini, ketika kita bersidang, sebuah flotila sekali lagi belayar menuju Gaza bukan membawa alat peperangan, tetapi janji bantuan untuk rakyat yang terkepung. Ia adalah misi belas kasihan, dan kita mesti melakukan segala usaha agar ia sampai ke persisirnya.

“Membiarkan ia dipaksa berpatah balik dengan keganasan adalah mengkhianati amanah hati nurani kita untuk membela yang lemah, melindungi yang tertindas, dan memberi makanan kepada yang lapar.
“Kecaman tidak akan menghentikan peluru berpandu. Pengisytiharan tidak akan membebaskan Palestin. Tindakan balas yang keras mesti dilaksanakan. Hubungan diplomatik mesti dihentikan, begitu juga hubungan perdagangan,” katanya.

Anwar menambah, rejim Israel turut menunjukkan penghinaan sepenuhnya terhadap asas peradaban dan ketertiban antarabangsa melalui serangan tanpa henti di Gaza.
Malah, sehingga kini tindakan biadap rejim itu disifatkan sebagai pengisytiharan apartheid kekal di Palestin.

“Keseriusan jenayah ini bertambah parah kerana peranan penting Qatar sebagai pengantara. Di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, negara ini telah berusaha dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan untuk memupuk dialog.
“Menyerang Qatar bermaksud mensabotaj secara terang-terangan usaha-usaha murni bagi perdamaian itu. Serangan ini mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua. Ia adalah serangan terancang di mana tiada negara akan terlepas dalam mengejar agenda Zionis Israel.

“Sementara itu, Gaza terus dihancurkan di depan mata kita. Rakyatnya menanggung kemusnahan dan kehancuran yang belum pernah berlaku, keluarga dimusnahkan, hospital menjadi runtuhan, kanak-kanak dikuburkan di bawah serpihan bangunan.
“Di Tebing Barat, politik kolonial perampasan tanah terus berlangsung tanpa henti. Kekejaman ini telah meluas kepada serangan dan pemboman ke atas Lubnan dan Syria, Yaman dan Iraq, malah termasuk serangan ke atas Iran. Corak ketiadaan undang-undang ini menunjukkan penghinaan sepenuhnya terhadap asas peradaban dan ketertiban antarabangsa,” tegasnya.

Justeru, menurut Perdana Menteri, sudah tiba masanya tindakan lebih berani diambil bagi menghentikan keganasan berterusan rejim Zionis.
“Israel telah mengisytiharkan bahawa tidak akan pernah wujud sebuah negara Palestin. Marilah kita jelas: ini merupakan pengisytiharan apartheid kekal. Ia adalah penolakan terhadap setiap resolusi PBB dan hak menentukan nasib sendiri.

“Rakyat kita sudah penat dengan kata-kata. Mereka telah menyaksikan kita mengeluarkan kecaman demi kecaman, pengisytiharan demi pengisytiharan, sementara Israel terus bertindak dengan sewenang-wenangnya.
“Apabila generasi masa hadapan bertanya sama ada kita menemui keberanian untuk bertindak, kita tidak meminta negara-negara melampaui kewajipan asas mereka,” katanya lagi.

Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam itu menghimpunkan pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan serangan Israel terhadap Qatar.
Sidang turut dijangka meluluskan satu resolusi yang menggariskan tindakan serta pendirian bersama negara anggota dalam menangani isu tersebut.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
