Banjir: PM Anwar Pantau Rapat, Arah Semua Agensi Perhebat Operasi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua aset agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas pada 24 November 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim via PDRM
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikuti rapat perkembangan banjir di tanah air yang semakin buruk dan menjejaskan lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri, meskipun kini berada di Kenya bagi lawatan rasmi yang berakhir hari ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri mengarahkan semua aset agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap serta memastikan bantuan segera disalurkan.

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut dikerah ke Kelantan, yang paling teruk terkesan dan bersedia dihantar ke negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan.
Beliau berkata Kerajaan turut menggerakkan Skuad Ihsan MADANI ke semua kawasan terjejas, untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa di hampir 100 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka.
“Saya menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diminta segera berpindah. Keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan.
“Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, saya mendoakan agar semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan. Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Menurut laporan terkini, hampir 10 ribu terjejas di Kelantan manakala Selangor merupakan negeri terkini dilanda banjir berikutan luruan monsun yang melanda kawasan pantai barat Semenanjung.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
