Kenya Lihat Malaysia Sebagai Model Kemajuan Ekonomi – Presiden Ruto

Perdana Menteri diraikan dalam satu majlis makan malam dihoskan oleh Presiden Republik Kenya William Samoei Ruto di Istana Negara, Nairobi pada 23 November 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim
NAIROBI, 24 Nov – Kenya sedang meneliti model kemajuan ekonomi Malaysia dan melihat negara ini sebagai penanda aras transformasi yang ingin dicontohi.
Presiden Kenya, William Samoei Ruto, berkata transformasi ekonomi Malaysia berada pada tahap yang hanya mampu dikagumi oleh kebanyakan negara Afrika.
Beliau berkata kedua-dua negara bermula pada landasan hampir sama ketika mencapai kemerdekaan, namun Malaysia kini jauh meninggalkan Kenya.

“Perjalanan Malaysia terus memberi inspirasi kepada kami dan membuktikan bahawa disiplin, tumpuan serta kepimpinan berani mampu mengubah sebuah negara,” katanya.
Beliau berkata Malaysia sering disebut oleh ahli politik Kenya sebagai penanda aras, memandangkan kedua-dua negara dahulunya setara ketika merdeka, namun Malaysia kini sudah menjadi ekonomi berpendapatan menengah atas.

Ruto berkata demikian selepas mengadakan istiadat sambutan rasmi untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di State House, kediaman rasmi Presiden Kenya.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala.

Mereka turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dan dokumen kerjasama, termasuk dalam sektor pelancongan serta antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Nairobi (NCC).
Sementara itu, Anwar dan Ruto berkata kedua-dua negara turut bersetuju supaya hubungan dua hala dinaik taraf sebagai perkongsian strategik.

Kenya adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika, dengan jumlah dagangan mencecah RM5.7 bilion, peningkatan 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.
Lawatan Anwar ke negara itu adalah yang pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia dalam lebih dua dekad.

Ruto berkata perbincangannya dengan Anwar mengukuhkan lagi hubungan lama antara kedua-dua negara.
Beliau berkata peningkatan hubungan kepada perkongsian strategik akan memastikan kerjasama dibangunkan dengan lebih tersusun dan tertumpu.

Katanya, kedua-dua negara juga mengukuhkan komitmen untuk menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, memperluaskan eksport Kenya ke Malaysia, serta mendalami kerjasama dalam teknologi digital dan pembuatan berteknologi tinggi.
Beliau mengalu-alukan keputusan Malaysia untuk memansuhkan tarif ke atas hasil pertanian dan daging lembu.

Ruto berkata langkah itu amat bermakna kerana membuka peluang pasaran baharu kepada petani Kenya dan mengukuhkan asas komersial kerjasama antara kedua-dua negara.
“Pemansuhan tarif ini sangat penting mengambil kira struktur perdagangan semasa, di mana eksport utama Kenya ke Malaysia merangkumi teh, kopi, bunga, avokado dan bijih titanium.

“Sementara itu, import dari Malaysia merangkumi minyak dan lemak boleh dimakan, produk kimia, elektronik, bahan kimia pertanian serta getah.
“Profil ini menunjukkan kepentingan dan potensi besar untuk meluaskan lagi hubungan dagangan kita,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
