Atalanta Singkir Liverpool Dari Pentas Eropah

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah (tengah) menyempurnakan sepakan penalti pada aksi timbal balik suku akhir Liga Europa menentang Atalanta di Stadio Atleti Azzurri, Bergamo. Foto REUTERS
LONDON, 19 Apr – Liverpool tersingkir daripada Liga Europa selepas kekalahan 3-1 secara agregat di tangan Atalanta pada peringkat suku akhir.
Sementara itu keputusan seri 1-1 Bayer Leverkusen di West Ham sudah cukup untuk membawa juara Jerman itu ke peringkat separuh akhir.
Pada musim terakhir Jurgen Klopp sebagai pengendali Liverpool, The Reds berharap mampu memberikannya ucapan selamat tinggal berharga dengan mara ke final di Dublin.
Bagaimanapun kekalahan 3-0 pada aksi suku akhir pertama di Anfield tidak mampu diatasi apabila Liverpool sekadar menang 1-0 pada aksi timbal balik.
Liverpool pernah merakam sejarah kebangkitan hebat di pentas bola sepak Eropah ke atas pasukan-pasukan seperti St Etienne, AC Milan dan Barcelona, namun kali ini ia tidak menjadi kenyataan.

Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti minit ketujuh di Bergamo selepas hantaran lintang Trent Alexander-Arnold terkena tangan Matteo Ruggeri.
Namun tiada tambahan gol berjaya dihasilkan dengan pertahanan Atalanta mengekalkan kelebihan mereka ke atas kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Ia minggu yang sukar buat Liverpool, yang pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris turut terjejas selepas kekalahan di tangan Crystal Palace pada Ahad.
“Perasaan bercampur-baur. Kami tersingkir tetapi saya gembira dengan perlawanan ini.
“Jelas sekali kami yang menjadikan laluan lebih sukar. Kami mengharapkan aksi di Dublin tetapi ia tidak kesampaian,” kata Klopp.
Ketika Klopp terus gagal menjulang satu-satunya trofi utama yang belum berada dalam koleksinya sepanjang sembilan tahun di Anfield, Atalanta pula berpeluang memenangi kejuaraan kedua dalam sejarah 116 tahun kelab selepas Coppa Italia pada tahun 1963.
Skuad kendalian Gian Piero Gasperini akan berdepan Marseille pada separuh akhir Eropah pertama mereka sejak tahun 1988.
Leverkusen yang masih segar dengan kejuaraan Bundesliga hujung minggu lalu, berjaya mengatasi kebangkitan West Ham untuk mara dengan kelebihan agregat 3-1.
Pada peringkat separuh akhir, skuad kendalian Xabi Alonso akan berdepan Roma, yang menyingkirkan AC Milan 3-1 secara agregat.
Leverkusen memenangi perlawanan pertama dengan keputusan 2-0, tetapi Wes Ham bermula baik di London apabila Michail Antonio menyempurnakan hantaran Jarrod Bowen untuk gol minit ke-13.
Mereka bagaimanapun gagal menambah jaringan, sebaliknya Leverkusen memastikan kemenangan aksi suku akhir dengan jaringan penyamaan minit ke-89 selepas percubaan Jeremie Frimpong terkena Aaron Cresswell.
Di Stadio Olimpico, Gianluca Mancini membuka jaringan untuk Roma pada minit ke-12 dan Paulo Dybala menggandakan kedudukan 10 minit kemudian.
Skuad kendalian Daniele De Rossi terpaksa bermain 10 orang apabila Zeki Celik dibuang padang pada minit ke-31 kerana mengasari penyerang Milan, Rafael Leao.
Matteo Gabbia merapatkan jurang pada minit ke-85, tetapi tidak cukup untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Di selatan Perancis, Marseille memenangi penentuan penalti 4-2 ke atas Benfica selepas kemenangan 1-0 pada aksi timbal balik yang terikat 2-2 secara agregat.
Faris Moumbagna menanduk masuk hantaran Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-89 untuk mengheret permainan ke masa tambahan sebelum ditentukan menerusi sepakan penalti.
Luis Henrique menjaringkan penalti kemenangan buat skuad Jean-Louis Gasset selepas Angel Di Maria dan Antonio Silva gagal menyempurnakan penalti untuk Benfica. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

