Mbappe Puas Humban Barcelona

Penyerang Paris Saint Germain Kylian Mbappe tetap fokus dengan misi memburu kejuaraan UCL meskipun bakal meninggalkan pasukan itu penghujung musim ini. Foto AFP
BARCELONA, 18 Apr – Paris Saint-Germain (PSG) mengambil kesempatan atas kesilapan benteng pertahanan gergasi Sepanyol, Barcelona apabila mencatat kemenangan menerusi agregat 6-4 pada aksi suku akhir saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.
Pada perlawanan timbal balik di Stadium Olimpik Lluis Companys awal pagi tadi, juara Ligue 1 itu bangkit daripada ketinggalan 0-1 sebelum mencatat kemenangan selesa 4-1, sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe menjadi wira pasukan itu apabila melakukan dua jaringan, manakala Ousmane Dembele dan Vitinha masing-masing meledak satu gol dalam perlawanan tersebut.
Jurulatih PSG, Luis Enrique memuji aksi matang ditampilkan Mbappe sepanjang perlawanan itu meskipun kempen kali ini merupakan musim terakhirnya menyarung jersi juara 10 kali Ligue 1 berkenaan.

“Tahniah dan pujian harus diberikan kepada Kylian (Mbappe) kerana anda semua boleh nampak bagaimana dia memberi tekanan terhadap pasukan lawan. Bagi saya, inilah cara sebenar untuk memimpin pasukan.
“Apabila Kylian boleh bermain seperti ini setiap kali masuk ke dalam padang, saya tahu kami boleh bermain lebih baik. Ia dapat dibuktikan menerusi jaringan serta gerakan yang dilakukan,” katanya yang pernah membimbing Barcelona memenangi trebel pada 2015.
Perlawanan itu turut menyaksikan beberapa kontroversi tercetus apabila pemain pertahanan Barcelona, Ronald Araujo dan pengendalinya, Xavi Hernandez diarah meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah.
Sementara itu, Mbappe menegaskan, fokusnya pada ketika ini hanyalah untuk membantu PSG mara ke final dan memenangi UCL biarpun dia dijangka meninggalkan pasukan tersebut pada penghujung musim nanti.
“Saya sentiasa memasang impian untuk memenangi Liga Juara-Juara bersama PSG. Sekarang kami sudah berjaya dan puas melepasi halangan salah sebuah pasukan terbaik di Eropah dan ia sesuatu yang sangat baik.
“Semua pemain berada dalam keadaan cukup yakin ketika ini. Saya percaya ia akan membantu kami untuk mencapai sasaran mara ke Wembley (final) dan seterusnya memenangi pertandingan ini,” ujarnya.
PSG akan bertemu wakil Jerman, Borussia Dortmund pada aksi separuh akhir pada 8 dan 9 Mei ini. – AGENSI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
