ASEAN 2025: Presiden Prabowo Sokong Penyertaan Timor-Leste, Alu-Alukan Papua New Guinea Ke Dalam ASEAN

Presiden Indonesia Prabowo Subianto ketika hadir pada Sesi Plenari sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025. Foto Sekretariat Kementerian Republik Indonesia
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Hasrat Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN dan mengalu-alukan minat Papua New Guinea untuk menyertai blok serantau itu, menerima sokongan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Dalam ucapan sulungnya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur, Presiden Subianto menyatakan harapan agar Timor-Leste menjadi anggota penuh tahun ini dan mencadangkan supaya Papua New Guinea, yang turut menyatakan minat, juga dipertimbangkan untuk keanggotaan penuh.
Ini merupakan penampilan pertama Prabowo dalam Sidang Kemuncak ASEAN sejak mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober 2024.

ASEAN kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Timor-Leste, yang memohon keanggotaan ASEAN pada 2011, diberikan status pemerhati di mesyuarat peringkat tinggi pada 2022 namun masih menjalani proses penilaian untuk penyertaan penuh.
Pada 10 Mac lepas, akhbar tempatan The National melaporkan bahawa Perdana Menteri Papua New Guinea James Marape menyatakan hasrat negaranya untuk menyertai ASEAN bagi meraih manfaat daripada kebangkitan ekonomi Asia Tenggara.

Berucap pada pelancaran Ekspo Dunia Osaka 2025, Marape berkata penyelarasan dengan ASEAN akan membuka peluang ekonomi baharu, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat tahun depan.
Semasa sesi pleno pada sidang kemuncak itu, Prabowo turut menggesa pengukuhan institusi ASEAN termasuk memperkasakan badan pusat dan Setiausaha Agung bagi menangani cabaran masa depan dengan lebih berkesan.
“Kita memperingati 10 tahun Komuniti ASEAN dan berbangga dengan kemajuan dalam integrasi ekonomi, pertumbuhan serta kerjasama sosial. Namun, kita perlu berusaha lebih keras untuk bertindak secara lebih efektif.
Dalam situasi ketidaktentuan geopolitik semasa, ASEAN yang lebih kuat akan lebih didengari dalam wacana kuasa-kuasa besar. Kami tahu kini hanya yang kuat akan dihormati,” katanya menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia.
Beliau turut menekankan saiz populasi ASEAN yang setanding dengan Kesatuan Eropah serta statusnya sebagai satu daripada rantau ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia.

“Kurun ini diramalkan sebagai abad Asia. Jangan kita memandang rendah kekuatan dan kuasa kita sendiri,” kata beliau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

