ASEAN 2025: ASEAN Tolak Sebarang Bentuk Penjajahan Ke Atas Gaza – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 Mei 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 sekali lagi menegaskan blok serantau itu menyatakan pendirian tegas menentang sebarang bentuk penjajahan terhadap mana-mana negara termasuk melibatkan kekejaman terhadap rakyat Gaza.
Ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini, Perdana Menteri menegaskan, ASEAN mengharapkan penyelesaian muktamad terhadap nasib yang menimpa Palestin susulan tindakan zalim rejim Zionis.

Katanya lagi, Malaysia dan ASEAN menyokong penyelesaian dua negara sebagai jalan ke arah keamanan yang berkekalan di Asia Barat.
“Oleh itu, saya menolak penjajahan ke atas mana-mana negara. Kita dibesarkan untuk menghormati maruah dan aspirasi manusia.
“Maka, kami (ASEAN) berharap resolusi ini membawa kepada pengakhiran terhadap kekejaman berdekad-dekad yang dilakukan oleh Israel, gencatan senjata serta-merta dan pengiktirafan terhadap penyelesaian dua negara.
“Penyelesaian ini juga dikongsi oleh banyak negara dalam ASEAN sebagai langkah ke arah menamatkan keganasan,” katanya.

Ketegasan serupa dizahirkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam siri-siri pertemuan dan perbincangan terdahulu sebelum hadir ke Kuala Lumpur.
Acara diplomatik bersejarah ini menghimpunkan pemimpin dari negara-negara ASEAN dan GCC yang terdiri daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE),, Qatar, Bahrain, Oman, Arab Saudi dan Kuwait selaku Presiden Majlis Tertinggi GCC.
Anwar menambah isu Palestin, khususnya penderitaan di Gaza, amat menyayat hati dan menjadi keprihatinan utama Malaysia dan negara anggota ASEAN.
Beliau juga menegaskan bahawa penderitaan rakyat Palestin tidak boleh dilupakan dan komuniti antarabangsa perlu bersama ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

