ASEAN 2025: Pertemuan PM Anwar, PM Li Curi Tumpuan Hari Kedua Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang ketika menikmati hidangan enak pada pertemuan empat mata hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur pada 27 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China kali pertama mencuri tumpuan para pengamal media dan delegasi negara-negara yang hadir hari ini.
Ini merupakan pertemuan kali kedua bagi kedua-dua pemimpin sejurus Li tiba di Kuala Lumpur pada 26 Mei, memberi isyarat betapa rapatnya hubungan kedua-dua negara tatkala serius berbincang mengenai kepentingan bersama.
Para pengamal media yang menyaksikan pertemuan berkenaan teruja dengan kemesraan yang ditampilkan antara Anwar dan Li sambil menikmati hidangan enak yang disajikan.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, menghargai komitmen China dalam memperkukuh kerjasama serantau dan hubungan dua hala terutama dalam menghadapi cabaran global dan perubahan geopolitik semasa.
“Sinergi antara kedua negara penting untuk dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi, projek infrastruktur dan pengangkutan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menangani pertikaian di Laut China Selatan, mengemaskini perkembangan perjanjian Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), industri halal dan perdagangan,” katanya.

Ujar Anwar, ia mencerminkan usaha Malaysia dalam memimpin benua ini dengan matlamat memperkukuh kesepaduan, memacu kerjasama ekonomi dan menangani isu serantau secara diplomatik dan pragmatik.
Ketika pertemuan pertama pada 26 Mei, Malaysia menghargai usaha China dalam usaha meningkatkan solidariti dan kerjasama antara negara-negara Selatan Global yang menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan global.

Pada pertemuan itu, Malaysia turut diwakili Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
