ASEAN 2025: PM Laos Diberi Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone menerima sambutan rasmi penuh istiadat ketenteraan di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 25 Mei – Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone hari ini menerima sambutan rasmi penuh istiadat ketenteraan di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik pada Disember 2022.
Ketibaan beliau pada pukul 10.00 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai simbol penghormatan diplomatik buat tetamu negara.
Siphandone kemudiannya memeriksa pasukan kawalan kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Menurut kenyataan Wisma Putra, kedua-dua pemimpin turut akan mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai isu serantau dan global, dengan penekanan terhadap kepentingan strategik ASEAN sebagai platform yang padu dan responsif dalam menangani cabaran geopolitik dan geoekonomi.
Lawatan itu juga diadakan menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China yang berlangsung selama dua hari bermula esok.
Hubungan dua hala antara Malaysia dan Laos terus menunjukkan perkembangan positif sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM99.7 juta, merangkumi eksport bernilai RM67.8 juta dan import sebanyak RM31.9 juta.
Malaysia merupakan pelabur asing kelima terbesar di Laos, dengan jumlah pelaburan berjumlah AS$942 juta melalui 46 projek berdaftar.
Ia merangkumi sektor tenaga boleh baharu, pengangkutan dan logistik, telekomunikasi, pembinaan, perbankan serta perkhidmatan hotel.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
