ASEAN 2025: Grid Tenaga ASEAN Fasa Kedua Wajar Disegerakan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia pada 25 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 25 Mei – Malaysia bersetuju dengan cadangan Laos supaya fasa kedua projek Grid Tenaga ASEAN disegerakan bagi memberi manfaat kepada negara anggota blok berkenaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, cadangan yang dikemukakan rakan sejawatannya dari Laos, Sonexay Siphandone, akan dibincangkan pada sesi pemukiman pemimpin ASEAN.
“Fasa pertama projek membabitkan kabel dasar laut dari Vietnam ke Utara Semenanjung, namun saya bersetuju dengan Perdana Menteri Laos bahawa kita harus mempercepatkan fasa kedua.

“Ia bagi membolehkan Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia dan Singapura turut menerima manfaatnya.
“Isu ini akan akan dibincangkan dalam pertemuan pemimpin ASEAN pada sesi pemukiman nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Siphandone sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Laos itu ke Malaysia di sini, hari ini.

Anwar berkata, Malaysia dan Laos turut memperluaskan hubungan perdagangan menerusi memorandum kerjasama antara Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan Thanaleng Dry Port.
Katanya, ia akan menjadi satu contoh kerjasama penting dalam aspek pelaburan dan pelaburan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Isu penting lain adalah pelabuhan darat yang kita ada di Perlis dan pelabuhan Thanaleng di Laos, semuanya berjalan lancar dan dijangka siap dengan cepat tahun ini.

“Kita sedang memperluaskan kemudahan terbabit dan sudah menandatangani persefahaman dengan Pelabuhan Pulau Pinang supaya aliran barangan dari Pulau Pinang ke Perlis dan seterusnya ke pelabuhan darat di Thanaleng dapat berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu juga membabitkan latihan dan pengurusan pelabuhan dengan PPSB, Pelabuhan Klang serta Pelabuhan Tanjung Pelepas sedia menawarkan khidmat latihan dan perkongsian kepakaran bersama.
“Kami turut membincangkan isu buruh, digital, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor selain isu tenaga alternatif termasuk unsur nadir bumi, ke arah mengembangkan kerjasama sedia ada.

“Perbincangan turut menyentuh memorandum kerjasama berkaitan kereta api ekspres ASEAN yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara negara ASEAN ke China,” katanya
Perdana Menteri berkata, perbincangan bersama rakan sejawatnya itu turut menyentuh penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN yang diharap dapat dimuktamadkan pada Oktober ini.
“Kami juga membincangkan mengenai Myanmar, keperluan untuk meneruskan bantuan kemanusiaan serta pentingnya semua pihak di Myanmar menghormati keperluan untuk keamanan, gencatan senjata segera, dan seterusnya bekerjasama melalui mekanisme dan persefahaman ASEAN, menggunakan Konsensus Lima Perkara ASEAN,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
