Perkukuh Kemampanan Fiskal Bantu Tingkat Pendapatan Negara Pada Suku Pertama 2025

Kesungguhan Perdana Menteri seluruh jemaah menteri Kerajaan MADANI dalam memacu transformasi ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing wajar disambut baik segenap lapisan masyarakat. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 25 Mei – Mengimbau semula pencapaian Kerajaan MADANI dalam mengurangkan defisit fiskal dan meningkatkan pendapatan negara sejak suku pertama 2023 hingga pada suku pertama 2025, ia ternyata merupakan bukti jelas kepada kesungguhan pentadbiran hari ini dalam memperkukuh kemampanan fiskal negara untuk jangka masa panjang.
Langkah-langkah reformasi yang telah dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mula menunjukkan kesan ketara biarpun masih terdapat beberapa aspek luar jangka bakal dialami seperti kesan tarif Amerika Syarikat (AS).
Ini termasuk mekanisme dan kawalan ketat terhadap ketirisan perbelanjaan, kecekapan kutipan hasil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pelaksanaan dasar percukaian yang lebih progresif telah mula menunjukkan hasil yang positif kepada landskap ekonomi Malaysia.

”Laporan positif Bank Negara yang mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 4.2 peratus tahun lalu mencerminkan impak positif dasar kemampanan fiskal negara kini berada pada tahap amat baik.
”Justeru saya menyarankan agar langkah tuntas dan kemas dapat diteruskan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dalam mengawal kadar fiskal kerajaan pada suku pertama 2025 merupakan langkah positif ke arah mencapai sasaran defisit fiskal antara 3% hingga 3.5% menjelang akhir tahun dan seterusnya membantu mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini,” ujar Ketua Penyelidik MIDF Research, Mohd Redza Abdul Rahman baru-baru ini.

Tambahnya, melalui inisiatif penstrukturan subsidi bersasar dan penambahbaikan sistem percukaian, kerajaan bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan tetapi juga memastikan aspek keadilan dalam kecekapan agihan sumber dilaksanakan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Buktinya, pertambahan jumlah bantuan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM13 bilion pada 2025 mula menerima kesan positif daripada aspek perbelanjaan mudah guna rakyat dan merancakkan aliran tunai dalam negara.
Kejayaan ini sudah pasti didorong oleh peningkatan hasil negara menerusi strategi memperluas asas cukai, pengurusan ekonomi yang lebih telus serta peningkatan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.

Manakala pertumbuhan pendapatan negara ini turut disokong oleh kepelbagaian elemen pemerkasaan sektor digital, pelaburan hijau serta penekanan kepada inovasi dan teknologi tinggi yang menjadi enjin pertumbuhan baharu kepada ekonomi nasional.
Usaha ini sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi MADANI yang memberi fokus kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Kejayaan ini tidak hanya meningkatkan keupayaan Kerajaan membiayai program pembangunan dan kebajikan, malah memperkukuhkan kedudukan fiskal negara di peringkat antarabangsa. Ia mencerminkan kesungguhan Perdana Menteri seluruh jemaah menteri Kerajaan MADANI dalam memacu transformasi ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
Justeru, kejayaan ini sewajarnya disambut dengan penuh syukur sambil berdoa pencapaian kerajaan MADANI dapat dikongsi bersama rakyat Malaysia yang mendukung reformasi ekonomi demi masa depan negara yang lebih sejahtera, makmur dan stabil.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
